Isu tilam lusuh di asrama SMK Tebedu selesai - Utusan Malaysia

Isu tilam lusuh di asrama SMK Tebedu selesai

KEADAAN tilam lusuh yang ditularkan baru-baru ini di pelajar asrama, SMK Tebedu, Serian.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TEBEDU: Isu tilam lusuh di asrama pelajar Sekolah Menengah Kerajaan (SMK) Tebedu yang tular di media sosial baru-baru hanyalah kes salah faham dan sudahpun diselesaikan secara baik.

Tiga tilam lusuh di atas katil seperti yang di dalam gambar yang ditularkan di media sosial sebenarnya bukan berada di dalam asrama pelajar, tetapi berada dalam simpanan di dalam bilik stor asrama berkenaan, jelas Pengetua SMK Tebedu Albert Dundang.

Albert memberi penjelasan berkenaan ketika sesi pertemuan bersama Ahli Parlimen Serian Datuk Seri Richard Riot di sekolah berkenaan di sini hari ini.

“Gambar tilam yang diviralkan tidak lagi digunakan dan disimpan di dalam bilik stor asrama sementara menunggu proses pelupusan.

“Kita mempunyai cukup tilam yang berkeadaan elok yang digunakan oleh kesemua 637 orang pelajar asrama,” kata Albert.

Menurut Albert lagi, gambar tilam lusuh seperti yang diviralkan dirakam oleh ibu kepada salah seorang pelajar perempuan yang masuk ke dalam stor berkenaan ketika menghantar anaknya ke asrama ketika sesi pendaftaran pelajar asrama.

Beliau berkata kebetulan ketika itu pintu stor berkenaan tidak dikunci sehingga membolehkan ibu kepada pelajar terbabit masuk ke dalam stor dan merakamkan gambar tilam seperti yang ditularkan.

“Wanita berkenaan menghantarkan gambar berkenaan, dipercayai menggunakan aplikasi WhatsApp kepada suaminya yang bekerja di Selangor, yang seterusnya tular sehingga ditonton lebih 100,000 pengguna media sosial.

“Malah, individu yang menularkan gambar tersebut merupakan penolong bendahari Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) berkenaan,” tambahnya.

Albert berkata sebaik mendapat tahu mengenai gambar tilam yang ditularkan itu, beliau segera membuat pemeriksaan dan kemudian segera menghubungi pihak PPD Serian untuk memaklumkan perkara berkenaan.

“Kita juga sudah menerima penghantaran tilam tambahan yang baharu untuk untuk diagih bagi kegunaan pelajar-pelajar yang memerlukannya,” Kata Albert.

Albert melahirkan rasa kecewa dengan kejadian tersebut dan menambah beliau dan pihak pengurusan sekolah selamat ini sudah berusaha bersungguh-sungguh untuk memberi yang terbaik kepada pelajar ya.

Turut melahirkan kecewaan dengan kejadian itu ialah PPD Serian Bubsie Tuntom yang berkata sepatutnya individu yang tular gambar berkenaan sepatutnya tidak terburu-buru, tambah pula beliau merupakan seorang Ahli jawatankuasa PIBG sekolah berkenaan.

“Bagaimanapun isu ini dianggap sudah selesai kerana hasil pemeriksaan dibuat mendapati keadaannya tidak seperti yang ditularkan, malah segala kemudahan di sekolah ini (SMK Tebedu) berada di dalam keadaan baik,” jelasnya lagi.

Sementara itu, ketika sesi pertemuan bersama Ahli Parlimen Serian Datuk Seri Richard Riot di sekolah berkenaan, hari ini beliau menzahirkan berpuas hati dengan penjelasan yang diberi Pengetua sekolah dan PPD Serian dan menganggapkan isu berkenaan sudah selesai.

“Saya amat prihatin dan mengambil berat isu ini kerana ia memberi gambaran yang buruk kepada pihak sekolah, pengetua sekolah, guru-guru sehingga menyebabkan SMK Tebedu menjadi bualan ramai bukan sahaja di Malaysia, malah di luar negara,” katanya.

Richard bagaimanapun setakat ini pihak sekolah dan Jabatan tidak bercadang untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap individu yang menularkan isu berkenaan.

“Kita berharap beliau sedar akan tindakan dan kesilapan yang telah dia lakukan,” tegas Richard. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN