Interaksi melalui muzik - Utusan Malaysia

Interaksi melalui muzik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Berinteraksi melalui alat muzik.

Itu yang dilakukan oleh Project ‘A’ Band untuk meningkatkan interaksi antara kanak-kanak dan remaja yang menyertai kumpulan berkenaan.

Kumpulan muzik yang ditubuhkan pada tahun 2018 itu ditubuhkan bertujuan menyemai minat dan memperkembangkan ilmu muzik kepada generasi muda khususnya di peringkat sekolah rendah dan menengah.

Mereka bukan sahaja belajar bermain alat muzik tetapi antara fokus utama adalah menggunakan alat muzik bagi tujuan berinteraksi antara satu sama lain melalui komposisi muzik yang dipilih.

Di bawah kendalian Guru Muzik, Mohammad Nornazlee Irwan Lee, Project ‘A’ Band turut didedahkan dengan pelbagai program.

Antara programnya adalah kreativiti muzik serta penciptaan lagu. Penekanan program-program ini bukan sahaja tertumpu di dalam muzik studio, malah mereka juga dibawa keluar bermain muzik di hadapan khalayak ramai.

Seorang ahli kumpulan yang juga pemain keyboard, Rayyan Haffiy Saufi, 15, berkata, dia menyertai kumpulan muzik berkenaan untuk meningkatkan keyakinan diri.

“Tujuan saya menyertai Project A Band ini supaya dapat mengembangkan lagi bakat seni muzik saya di masa akan datang.

“Selain itu, meningkatkan lagi tahap keyakinan diri saya apabila membuat persembahan di khalayak ramai,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Ketika ini, ramai ibu bapa yang cenderung untuk mendedahkan anak dengan muzik sejak di awal usia.

Pelbagai kelas muzik seperti piano dan gitar semakin menjadi pilihan ibu bapa untuk mengisi masa lapang anak mereka.

Muzik dikatakan mampu meningkatkan kemahiran mendengar kanak-kanak selain mudah untuk kekal fokus serta memahami arahan.

Sementara itu, komposer kumpulan berkenaan, Amin Sufian Nurazmal, 19, berkata, projek itu bertujuan membantu mencapai peringkat yang lebih tinggi dalam diri seseorang.

Dalam gred perperiksaan sekolah, kita sering digalakkan untuk mendapatkan keputusan gred ‘A’ yang membawa maksud sukses, kecemerlangan, kegemilangan.

Saya tertarik dengan idea itu dan jadikan ia sebagai visi Project ‘A’, iaitu dalam konteks yang sama diguna pakai dalam saat kita bermain muzik, iaitu menuju ke arah mencapai peringkat yang lebih tinggi,” katanya.

Ketika ini, kumpulan berkenaan telah melakukan beberapa persembahan luar, antaranya, mengadakan persembahan untuk Program Malaysia Hari Ini di TV3 menerusi segmen Bakat Seni Anak-Anak.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN