ROM: Sebuah mahkamah di Itali kelmarin menjatuhkan hukuman terhadap 32 tertuduh, termasuk bekas ketua pengendali lebuh raya Autostrade, atas peranan mereka dalam tragedi runtuhan jambatan di Genoa lapan tahun lalu yang mengorbankan 43 nyawa.
Bekas Ketua Pegawai Eksekutif Autostrade, Giovanni Castellucci didapati bersalah atas tuduhan menyebabkan kematian akibat kecuaian dan pengabaian berkaitan runtuhan Jambatan Morandi di Genoa. Runtuhan itu disifatkan sebagai antara bencana infrastruktur paling buruk dalam sejarah Itali.
Mahkamah dipenuhi ahli keluarga mangsa yang terkorban apabila Jambatan Morandi, sebahagian daripada lebuh raya utama yang menghubungkan Perancis dan Itali, runtuh ketika hujan lebat pada 14 Ogos 2018.
Castellucci, yang didakwa menangguhkan kerja-kerja penyelenggaraan penting, dijatuhi hukuman penjara 12 tahun. Bekas eksekutif itu kini turut menjalani hukuman penjara berikutan penglibatannya dalam kemalangan pada 2013 apabila sebuah bas merempuh penghadang jejambat, mengorbankan 40 orang.
Kebanyakan tertuduh terdiri daripada bekas eksekutif dan juruteknik syarikat Autostrade per l’Italia (ASPI) yang mengendalikan hampir separuh rangkaian lebuh raya Itali dan syarikat kejuruteraan Spea yang bertanggungjawab terhadap penyelenggaraan jambatan.
Selain Castellucci, mereka yang disabitkan termasuk bekas ketua Spea, Antonino Galata danbeberapa pegawai Kementerian Infrastruktur Itali.
Pengarah penyelenggaraan ASPI, Michele Mitelli dijatuhi hukuman penjara 11 tahun, manakala timbalan ketua syarikat itu, Paolo Berti dijel lima tahun enam bulan.
“Hari ini kami boleh menyatakan mereka yang bertanggungjawab atas kematian ahli keluarga kami akhirnya dikenal pasti. Kami berada di sini demi insan tersayang dan untuk mengenang mereka,” kata waris mangsa, Michele Matti Altadonna yang kehilangan adiknya dalam tragedi itu.
Hasil siasatan mendapati antara tarikh perasmian jambatan pada 1967 hingga ia runtuh 51 tahun kemudian, tiada langsung kerja penyelenggaraan minimum dilakukan bagi mengukuhkan kabel penyokong pada tiang nombor sembilan.
Kerja-kerja pengukuhan sebelum ini hanya dilakukan pada tiang nombor 10 dan 11 kerja di tiang nombor sembilan masih dalam perancangan sebelum struktur itu runtuh ketika waktu puncak.
Peguam mewakili keluarga mangsa, Raffaele Caruso berkata, runtuhan jambatan itu bukan berlaku secara kebetulan sebaliknya boleh dielakkan.
Timbalan Menteri Pengangkutan Itali, Edoardo Rixi menyifatkan keputusan mahkamah itu sebagai langkah penting ke arah menegakkan kebenaran dan keadilan.
“Runtuhan itu bukan takdir, sebaliknya berpunca daripada kesilapan besar dan kecuaian mereka yang bertanggungjawab memastikan keselamatan. Adalah wajar pihak yang bersalah akhirnya dipertanggungjawabkan,” katanya menerusi media sosial.
Pihak pembelaan pula berhujah jambatan itu mengalami kecacatan pembinaan yang tersembunyi, iaitu kakisan pada kabel penyokong dan ia menjadi faktor keruntuhan. – AFP










