Isu adat tak perlu jadi bahan kempen - Tok Mat

Isu adat tak perlu jadi bahan kempen – Tok Mat

AHMAD Zahid Hamidi (dua dari kiri) ketika berarak mengiringi calon-calon Barisan Nasional (BN) iaitu Datuk Seri Mohamad Hasan (tengah), Zaifulbahri Idris (dua dari kanan) dan Suhaimi Aini (kanan) bagi penamaan calon sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan Ke-16 hari ini. - UTUSAN/ISKANDAR ISHAK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

REMBAU: Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Mohamad Hasan mengingatkan jentera BN supaya tidak menjadikan isu adat sebagai bahan kempen sepanjang Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan bagi mengekalkan keharmonian masyarakat di negeri ini.

Calon BN bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau itu berkata, adat perlu dihormati sebagai institusi yang berdiri sendiri dan tidak seharusnya dicampuradukkan dengan kepentingan politik.

“Saya sudah terangkan dan saya sudah pesan supaya dalam tempoh kempen ini, kita (BN) jangan sentuh tentang adat. Adat perlu kita hormati kerana adat ini berdiri sendiri.

“Jangan kita campur adukkan adat dalam politik, terutamanya semasa kita berkempen kerana ia akan mengusutkan lagi keadaan. Kita tidak perlu menggunakan isu adat sebagai bahan kempen,” katanya selepas proses Penamaan Calon PRN Negeri Sembilan Ke-16 di Dewan Seri Rembau, di sini hari ini.

Pada PRN kali ini, Mohamad yang juga Menteri Luar akan berdepan saingan satu lawan satu dengan calon PH, Dr. Azizul Hakim Mahdi bagi mempertahankan kerusi DUN Rantau.

Mengulas kerjasama BN dengan Perikatan Nasional (PN), beliau menjelaskan hubungan yang terjalin adalah atas dasar persefahaman dan bukannya gabungan politik.

“Kita menjalankan persefahaman, bukannya bergabung. Seperti di (PRN) Johor sebelum ini, saya harap di Negeri Sembilan juga kita dapat saling membantu supaya usaha mendapatkan sokongan pengundi di setiap kawasan dapat dimaksimumkan,” katanya.

Katnaya pertandingan satu lawan satu di Rantau juga dijangka memudahkan perjalanan kempen berbanding pilihan raya sebelum ini yang menyaksikan lebih ramai calon bertanding.

“(Tahun ini) tak banyak (calon bertanding) hanya two corner atau straight fight (satu lawan satu). Bukan macam dulu sampai empat atau lima calon bertanding di Rantau. Jadi kempen pun tidaklah terlalu kelam-kabut.

“Harapan saya supaya kita berkempen secara sihat serta memberi tumpuan kepada penyampaian hasrat dan manifesto BN yang akan dilancarkan nanti. Sokongan rakyat penting agar mereka memberi semula mandat kepada BN pada 1 Ogos nanti,” katanya.

Mohamad turut berharap seluruh jentera BN menjalankan gerak kerja kempen secara tersusun bagi memastikan mesej parti dapat disampaikan dengan berkesan kepada pengundi.

“Saya harap rakan-rakan, jentera dan petugas BN dapat menjalankan gerak kerja yang tersusun dan teratur kerana gerak kerja yang tersusun akan menghasilkan keputusan yang baik,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN