PETALING JAYA: Ketua Penerangan Pas, Ahmad Fadhli Shaari meminta Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi tidak lagi mengulas mengenai usaha mengembalikan Muafakat Nasional (MN) ketika Ramadan ini.
“Ramadan ini kita memperbanyakkan amal ibadat dan kurangkan pertembungan, takut melarat sehingga mengurangkan pahala.
“Apatah lagi sengaja melontarkan isu tidak perlu yang tentunya akan memanjangkan perbahasan antara kedua-dua pihak,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook hari ini.
Semalam dilaporkan, Ahmad Zahid menyatakan Pas yang meruntuh dan meninggalkan MN bukan UMNO selain mengingatkan Pas supaya tidak bertanam tebu di bibir berhubung isu mahu menghidupkan semula kerjasama itu.
Presiden UMNO itu sebaliknya berkata, jangan hanya bercakap sedap di mulut tetapi apabila ia dijalankan dengan niat ikhlas daripada UMNO, pemimpin yang mengetuai parti (Pas) itu sendiri menolak.
Bagaimanapun, mengulas lanjut, Ahmad Fadhli berkata, punca sebenar kegagalan MN apabila parti itu mempunyai hubungan sulit dengan pimpinan Pakatan Harapan (PH) sebelum Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
“Sekadar mengingatkan, perbualan telefon antara ‘cikgu dan murid’ serta ‘gumpalan kertas A4’ yang berlaku sebelum PRU15 ialah sebesar-besar bukti telah berlaku hubungan sulit antara Datuk Seri secara peribadi dengan pimpinan PH.
“Akhirnya ia terlaksana selepas PRU15. Sudah tentu hujah yang biasa didengar ialah kerana ia titah Yang Dipertuan Agong agar BN bekerjasama dengan PH untuk membentuk kerajaan persekutuan. Ya, semata-mata patuh kepada titah sahaja,” katanya.
Beliau dalam kenyataan sama turut mempertikai tujuan sebenar penyertaan Barisan Nasional (BN) dalam Kerajaan Perpaduan sama ada benar-benar kerana titah atau sebab lain.
“Andaikan ia benar, soalannya adakah kerana titah juga BN sanggup bekerjasama dengan PH membentuk kerajaan negeri di Perak walaupun ada alternatif yang lain untuk membentuk kerajaan dominasi Melayu Muslim?
“Adakah kerana titah juga BN sanggup bekerjasama dengan PH membentuk kerajaan di Pahang walaupun ada alternatif lain untuk membentuk kerajaan dominasi Melayu Muslim? Jika kerana titah, titah yang mana? Atau titah siapa?,” soalnya.
Ahmad Fadhli turut mempersoal kenyataan Ahmad Zahid yang menyatakan harapannya agar kerjasama BN-PH itu kekal sehingga PRU16.
“Apabila Datuk Seri Zahid menyatakan harapan agar kerjasama ini kekal sehingga PRU16, dengan maksud di dalam pilihan raya akan datang, BN akan terus bekerjasama dengan PH menentang PN l satu lawan satu, adakah ia juga kerana titah?
“Tidakkah itu dengan sendirinya bermaksud selepas PRU16 nanti BN akan terus bekerjasama dengan PH membentuk kerajaan (jika pun menang)?,” katanya.
Beliau juga meminta untuk Ahmad Zahid tidak memperguna kalimah titah untuk maksud tertentu.
“Janganlah pergunakan kalimah titah sampai begitu sekali. Panjang lagi jawapan boleh diberikan, tetapi lebih baik setakat ini sahaja sekadar respon. Jika tidak dimulakan oleh Datuk Seri Zahid, tiada keperluan untuk menjawab sebenarnya.
“Kerana semua orang sudah tahu duduk letak isu sebenar. Buat masa sekarang, jika Datuk Seri terus istiqamah untuk bersama PH, saya ucapkan selamat berjaya,” ujarnya. –UTUSAN










