PUTRAJAYA: Semua pihak diminta menghentikan polemik berhubung kewujudan sekolah vernakular di negara ini kerana ia boleh menganggu gugat semangat perpaduan dan muhibah yang terbina dalam kalangan rakyat Malaysia berbilang bangsa, ras, etnik dan agama.
Menteri Perpaduan, Datuk Aaron Ago Dagang berkata, Mahkamah Rayuan pada November 2023, memutuskan bahawa kewujudan dan penubuhan sekolah vernakular dan penggunaan bahasa Mandarin serta Tamil di sekolah berkenaan adalah berperlembagaan.
Justeru, kata beliau, sebarang usaha memansuhkan kewujudannya adalah tidak wajar, malah bertentangan dengan keputusan mahkamah yang menjunjung tinggi prinsip Rukun Negara iaitu Keluhuran Perlembagaan dan Kedaulatan Undang-Undang.
“Saya juga menyokong penuh pendirian Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek yang menyatakan bahawa Kementerian Pendidikan Malaysia akan terus mempertahankan sistem pendidikan vernakular kerana ia selaras dengan Seksyen 28 (penubuhan Sekolah Kebangsaan dan Jenis Kebangsaan), Akta Pendidikan 1996.
“Selain itu, saya ingin tegaskan sekali lagi bahawa sekolah vernakular bukanlah satu faktor yang menjurus ke arah perpecahan, sebaliknya ia menjadi tarikan ke arah perpaduan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Aaron, sata enrolmen pelajar bukan Cina di SJKC dan pelajar bukan India di SJKT turut menunjukkan peningkatan berterusan sejak tahun 2018 sehingga tahun lalu sekali gus menunjukkan bahawa perpaduan rakyat mampu dibina di mana sahaja jika ada kesungguhan semua pihak.
Pada masa sama, katanya, kementerian melaksanakan Wacana Defisit Sosial dengan menampilkan pakar-pakar bidang pada tahun lepas dan hasil dapatan tersebut menunjukkan kewujudan sekolah vernakular tidak boleh lagi dianggap sebagai pembuka ruang pemisah antara etnik.
Sebaliknya, kata beliau, ia perlu turut menjadi medan mengurus kerukunan sosial sama seperti peranan sekolah kebangsaan.
“Mengurus kerukunan sosial ini bergantung kepada empat (4) perkara, iaitu penyesuaian (adaptability); matlamat (goal); integrasi (integration), dan terpendam (latency).
“Justeru, sektor pendidikan vernakular perlu mampu menguruskan keempat-empat perkara ini bagi mewujudkan kerukunan sosial (social order) di sekolah mereka,” katanya.
Aaron turut memberitahu, kementeriannya menubuhkan Jawatankuasa Teknikal Pendidikan Rukun Negara bersama Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dan Kementerian Komunikasi yang bertujuan meletakkan kembali penghayatan asas dan prinsip Rukun Negara dalam sistem pendidikan negara.
Sehingga kini, katanya, sebanyak 6,849 Kelab Rukun Negara (KRN) dan 189 Sekretariat Rukun Negara (SRN) di seluruh negara bagi meningkatkan penghayatan Rukun Negara dalam kalangan generasi muda yang mampu menjadi pemangkin kepada perpaduan negara.
“Maka tahun ini, Kementerian menerusi agensi akan melipatgandakan usaha untuk meningkatkan penghayatan Rukun Negara dalam kalangan rakyat supaya ia menjadi amalan hidup seharian,” katanya. – UTUSAN










