ARAU: Kakitangan Universiti Malaysia Perlis (Unimap) mengambil inisiatif bergotong-royong bagi menyediakan juadah berbuka puasa untuk lebih 1,200 pelajar universiti berkenaan sepanjang bulan Ramadan.
Juadah berbuka puasa itu disediakan di pekarangan surau Unimap di Pauh Putra di sini dengan setiap hari mahasiswa boleh berbuka puasa di lokasi berkenaan.
Naib Canselor Unimap, Prof. Datuk Dr. Zaliman Sauli berkata, aktiviti penyediaan juadah berbuka puasa dan moreh secara gotong-royong itu mengikut penggiliran fakulti dan jabatan-jabatan.
Katanya, ia diadakan pada setiap hari sepanjang bulan Ramadan khusus bagi menyantuni lebih 1,200 anak-anak mahasiswa Unimap sekali gus membantu menjimatkan perbelanjaan khususnya ketika berbuka
“Ini adalah salah satu cara Unimap bagi menunjukkan kepekaan dan keprihatinan kami dalam memastikan kebajikan dan kesejahteraan para mahasiswa terjaga,” katanya.
Sementara itu, Zaliman berkata, selain itu, pelbagai jenis bantuan dan sumbangan juga disediakan bagi memastikan mahasiswa mampu mendepani cabaran tanpa menjejaskan kelancaran proses pembelajaran dan pengajaran (PdP) mereka.
Katanya, antara bantuan yang disediakan meliputi bantuan kewangan; bantuan segera wang panjar MAIPs; khairat kematian; bantuan kos perubatan; insuran pelajar; bantuan bencana;penginapan percuma; kupon makanan percuma; foodbanksiswa@Unimap dan bantuan mahasiswa orang kelainan upaya (OKU).
“Pada tahun lalu, Unimap telah membelanjakan RM1.1 juta jumlah sumbangan untuk kebajikan. Manakala tahun ini, Unimap memperuntukan RM1.285 juta bagi membantu para mahasiswa. Kami juga berharap akan adanya peningkatan sumbangan pada setiap tahun.
“Oleh itu, Unimap sangat mengalu-alukan badan korporat yang ingin menyumbang bantuan kewangan untuk disalurkan kepada mahasiswa Unimap yang layak,” katanya.
“Saya percaya dengan beberapa bantuan yang kami lakukan ini akan merealisasikan usaha melahirkan graduan holistik yang cemerlang akademik serta kukuh jiwa dan semangatnya,” katanya. – UTUSAN










