KUALA LUMPUR: Kementerian Luar Negeri diminta membantah pembentukan konsortium antara Khazanah Nasional Berhad (Khazanah), Kumpulan Wang Simpanan Persaraan (KWSP) dan Global Infrastructure Partners (GIP) bagi memiliki pegangan Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB).
Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berkata, GIP adalah milik penuh Syarikat pelaburan Amerika, BlackRock.
Dakwanya, BlackRock adalah pemegang saham kepada semua syarikat pembekal senjata yang membunuh rakyat Palestin di Gaza.
“Jadi saya minta komitmen dari Wisma Putra untuk sama-sama membantah pendekatan yang dibuat Khazanah dan KWSP untuk jual pegangan MAHB kepada GIP yang dimiliki BlackRock,” katanya semasa sidang Dewan Rakyat hari ini.
Menjawab soalan tambahan itu, Timbalan Menteri Luar, Datuk Mohamad Alamin berkata, kementerian belum mendapat maklumat rasmi berhubung perkara berkenaan.
Namun, katanya, Kementerian Luar akan mengambil tindakan berdasarkan tindakan yang perlu berdasarkan bidang kuasanya.
“Isu dibangkitkan ini kalau ada maklumat rasmi tentang itu, kita akan bagi pandangan di peringkat wilayah kementerian kita,” katanya.
Terdahulu, Mohamad berkata, Malaysia kekal dengan pendekatan berprinsip dalam isu melibatkan krisis di Palestin dan sama sekali tidak berganjak dari menyuarakan enam tuntutan utama.
Menurutnya, tuntutan itu antaranya gencatan senjata dan bantuan kemanusian segera, menghentikan serta-merta pindahan orang awam Palestin secara paksa dan siasatan melalui instistusi undang-undang antrabangsa serta menerima Palestin sebagai anggota penuh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
“Malaysia juga menyokong penuh cadangan Kesatuan Eropah (EU) untuk adakan persidangan keamanan antrabangsa dalam usaha membangun pelan hala tuju ke arah penyelesaian (konflik) Israel-Palestin.
“Misi kemanusiaan digerakkan ke Gaza menerusi Ops Ihsan dan kerajaan terus menyalurkan bantuan kepada rakyat Palestin menerusi sumbangan kepada agensi terlibat,” katanya. – UTUSAN