KEPRIHATINAN Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek sangat diharapkan agar sebuah kantin baharu dapat dibina segera di SK Limau Purut, Kuala Lipis, Pahang. Ini bagi menggantikan kantin yang uzur dan tidak selamat digunakan oleh murid dan guru sekolah tersebut.
Untuk makluman, sekolah berkenaan hanya memiliki sekitar 100 orang murid sahaja.
Banyak kali permohonan diajukan kepada Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) tetapi hanya peruntukkan sekitar RM20,000 untuk selenggara dan cat semula atas alasan tiada peruntukan.
Kantin ini asalnya sebuah sangkar burung sewaktu mata pelajaran Alam dan Manusia tetapi diubah suai menjadi sebuah kantin sehingga ke hari ini.
Kantin tersebut uzur dan sempit. Silingnya dimakan anai-anai dan berkulat. Tiada ruang dapur memasak dan menyediakan makanan. Amat daif sekali. Peralatan memasak sering pula diganggu kera kerana tiada tempat penyimpanan.
Sekolah ini dibina sekitar 1950 sehingga kini masih tiada kantin. Agak pelik dan janggal. Harapan ibu bapa dan seluruh warga sekolah ini agar pihak bertanggungjawab ‘buka mata’ tentang kedaifan kantin dan bertindak dengan kadar segera.-UTUSAN
PAK TONGKOL
Kuala Lipis, Pahang










