CADANGAN untuk memansuhkan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) dan hanya memberi keutamaan kepada Program Matrikulasi Malaysia (PMM) sebagai laluan prauniversiti di Malaysia wajar dibantah sekerasnya.
Felo Majlis Profesor Negara (MPN), Profesor Emeritus Datuk Dr. Teo Kok Seong melontarkan cadangan tersebut selepas permintaan golongan bukan bumiputera ke PNM meningkat kerana merasakan program matrikulasi lebih cemerlang berbanding STPM.
STPM merupakan program yang terbukti menyumbang kepada penghasilan mahasiswa berkualiti dan pada masa sama membuka ruang kepada golongan marhaen ke universiti.
Menurut rekod Majlis Peperiksaan Malaysia (MPM), Keputusan STPM 2024 menunjukkan peningkatan Purata Nilai Gred Keseluruhan (PNGK) sekali gus merekodkan pencapaian tertinggi sejak peperiksaan STPM dilaksanakan.
Sebagai individu yang pernah berada dan mengharungi perjalanan di STPM, cadangan pemansuhan ini wajar ditolak sekerasnya atas beberapa sebab. Antaranya. STPM menawarkan akses terbuka tanpa sebarang bentuk kuota dan diskriminasi kaum. Ia terbuka kepada semua pelajar yang sanggup berusaha menempuh liku-liku hidup dan cabaran pelbagai.
STPM juga menyediakan silibus pembelajaran terbaik dan mampu menjadi nilai tambah kepada mahasiswa yang akan masuk ke menara gading. Pelaksanaan kerja kursus bagi sebilangan subjek dapat melatih pelajar membina kecekapan intelek serta kemahiran berfikir.
Pandangan segelintir pihak yang mengatakan STPM merupakan laluan kelas kedua perlu diperbaiki. STPM setaraf dengan program antarabangsa seperti Cambridge dan mendapat pengiktirafan lebih daripada 2,000 universiti di dunia.
Pemansuhan STPM hanya akan menyempitkan pilihan pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Ramai pelajar luar bandar dan dari keluarga B40 yang tidak terpilih ke matrikulasi masih mengharapkan STPM sebagai laluan ke universiti. Menghapuskan STPM boleh diibaratkan seperti menutup pintu kepada mereka.
Langkah-langkah untuk memperkasa STPM sebagai laluan prauniversiti perlu dipertingkatkan. Promosi secara besar-besaran wajar diperluaskan agar pelajar termasuk ibu bapa memahami nilai dan kelebihan STPM.
Stigma negatif seperti STPM kurang cemerlang perlu ditangani. Kerjasama yang luas antara pihak sekolah, universiti dan industri wajar diwujudkan bagi membuka peluang dan pendedahan awal kepada pelajar.
STPM bukan sahaja perlu dikekalkan malah statusnya mesti dimartabatkan sebagai laluan utama ke universiti awam dan swasta. Masyarakat perlu melihat STPM sebagai ruang pembinaan sahsiah diri, kematangan akal dan ketahanan akademik.
Laluan ini seharusnya dipertahankan dan diangkat menjadi sistem pendidikan negara yang kaya dengan pelbagai kaum di negara ini. Benih perpaduan sentiasa muncul dan mekar di STPM kerana ruang pembelajaran sentiasa terbuka kepada semua tanpa sempadan kaum, agama dan status sosial.
Meskipun terdapat cadangan daripada bantan Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik untuk menggunakan STPM sebagai kelayakan tunggal pelajar masuk ke universiti. Beliau berpandangan wujud ketidakseimbangan yang akhirnya timbul isu perkauman.
Dalam konteks masa kini, kepelbagaian laluan masuk ke menara gading seharusnya dirai. Pemansuhan STPM bukanlah jalan penyelesaian bagi masalah yang timbul. Hanya disebabkan program matrikulasi lebih popular berbanding STPM, tidak semestinya laluan ini harus dipadam.
Yang perlu dilakukan bukanlah mengorbankan STPM demi memberi laluan tunggal kepada matrikulasi, tetapi mencari titik keseimbangan yang adil antara pelbagai sistem sedia ada.
STPM perlu terus dikekalkan, diperkukuh dan dipopularkan, bukan ditolak ke tepi dalam bayang sistem lain.
Jika benar Malaysia ingin membina sistem pendidikan yang inklusif dan berpaksikan keadilan sosial, maka mempertahankan STPM adalah antara langkah paling asas dan wajar.-UTUSAN
MUHAMMAD NAJMUDIN NADZRI
Pusat Pengajian Bahasa, Tamadun dan Falsafah,
Universiti Utara Malaysia (UUM)










