PETALING JAYA: Pemain perseorangan lelaki utama negara, Leong Jun Hao diyakini mampu memberi saingan sengit kepada pemain No. 1 dunia, Kunlavut Vitidsarn dari Thailand apabila kedua-dua pemain bertemu dalam pusingan kedua Terbuka China, hari ini.
Pengarah kejurulatihan perseorangan kebangsaan, Kenneth Jonassen menyifatkan anak buahnya itu menunjukkan persembahan paling tersusun selepas menewaskan pemain Jepun, Kenta Nishimoto di pusingan pertama, kelmarin.
“Dia bermain lebih agresif, pergerakannya pantas dan variasi pukulannya sangat baik sehingga berjaya memberi tekanan kepada lawan.
“Jun Hao melaksanakan semua strategi dengan sempurna, apatah lagi dalam keadaan stadium yang agak sukar untuk dikawal,” kata Jonassen kepada Utusan Malaysia.
Sementara itu, Jun Hao mengakui kemenangan 21-15, 21-18 ke atas Nishimoto sangat bermakna buat dirinya selepas bergelut dengan prestasi tidak menentu sejak beberapa kejohanan lalu.
Pemain No. 26 dunia itu turut memuji pendekatan latihan Jonassen yang banyak menekankan aspek kekuatan mental sebagai antara faktor utama yang membantu meningkatkan persembahannya.
“Kali ini persembahan saya agak berbeza, saya dapat kawal gelanggang dengan baik dan kemenangan ini beri saya keyakinan tinggi menjelang aksi sukar menentang Kunlavut.
“Jurulatih selalu ingatkan saya untuk jadi kuat dari segi mental, dan itu sangat membantu saya untuk bermain dengan lebih baik,” kata Jun Hao. – UTUSAN










