Piala Lee Chong Wei sedia tembus pentas antarabangsa

Piala Lee Chong Wei sedia tembus pentas antarabangsa

DATUK Seri Lee Chong Wei. - IHSAN FB CHONG WEI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kejayaan penganjuran sulung Lee Chong Wei Cup di Stadium Juara, Bukit Kiara hari ini membuka ruang buat Datuk Seri Lee Chong Wei mengembangkan kejohanan itu ke peringkat antarabangsa musim depan.

Legenda badminton negara itu merancang menganjurkan dua kejohanan berasingan tahun depan, iaitu edisi domestik khusus buat pemain Malaysia dan satu lagi saingan terbuka yang menghimpunkan bakat muda dari seluruh dunia.

Chong Wei berkata, edisi antarabangsa berkenaan tidak akan terhad kepada penyertaan negara-negara Asia seperti Thailand dan Indonesia, sebaliknya turut memberi peluang kepada akademi serta pemain muda dari pelbagai negara untuk beraksi.

“Untuk tahun depan, saya bercadang membuka kejohanan ini kepada pemain antarabangsa dan bukan hanya dari Asia, malah seluruh dunia, jadi sesiapa yang berminat boleh mengambil bahagian.

“Saya sudah merancang dua kejohanan tahun depan, satu untuk pemain tempatan dan satu lagi edisi antarabangsa,” katanya ketika ditemui hari ini.

Bagaimanapun, Chong Wei mengakui perancangan itu perlu disusun dengan teliti, khususnya dalam menentukan tarikh supaya kejohanan berkenaan tidak bertembung dengan pertandingan junior lain di rantau ini.

“Kita perlu melihat masa yang sesuai dan berbincang dengan Badminton Asia untuk mendapatkan kelulusan kerana saya tidak mahu kejohanan ini bertembung dengan pertandingan junior lain.

“Jika negara lain turut menganjurkan kejohanan atau mempunyai bakat muda yang bertanding ketika itu, saya tidak mahu jadualnya bertindih, jadi selepas mendapat tarikh yang sesuai, barulah kita akan anjurkan kejohanan antarabangsa itu,” katanya.

Chong Wei berkata, pengalaman menganjurkan kejohanan masih baharu buat dirinya dan beberapa penambahbaikan akan dilakukan berdasarkan maklum balas yang diterima daripada edisi sulung tahun ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×