PETALING JAYA: Tindakan kumpulan motosikal yang melakukan aksi samseng jalanan ketika berkonvoi ke kedai makan di Senawang, Negeri Sembilan memakan diri apabila ditahan polis di Lebuhraya Kuala Lumpur-Seremban, semalam.
Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Mohd. Azman Ahmad Sapri berkata, operasi dilakukan sepasukan pegawai dan anggota Unit Risikan/Operasi JSPT Bukit Aman.
Katanya, tangkapan dibuat kira-kira pukul 12.25 tengah malam selepas lima penunggang motosikal terbabit dikesan melakukan aksi ‘superman’ dan bersaing sesama sendiri.
“Soal siasat awal mendapati, semua lelaki berusia 18 hingga 35 tahun itu adalah kenalan rapat yang menetap di sekitar Rawang, Selangor.
“Mereka melakukan aksi semasa dalam perjalanan ke kedai makan terletak di bandar Senawang,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia hari ini.
Beliau berkata, polis mengeluarkan 25 saman atas pelbagai kesalahan seperti nombor pendaftaran tidak ikut peraturan, tiada nombor pendaftaran, tiada cermin sisi, cukai jalan tamat tempoh dan mengubah suai ekzos.
Katanya, polis menyita semua motosikal jenis Yamaha Y15ZR dan Yamaha 135LC terbabit.
“Kesemua tangkapan dan sitaan dibawa ke Balai Polis Trafik Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Seremban untuk tindakan lanjut mengikut Akta Pengangkutan Jalan 1987,” ujarnya. – UTUSAN










