NEW YORK: Presiden Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA), Gianni Infantino memberi bayangan bahawa Piala Dunia lelaki berpotensi diperluaskan kepada 64 pasukan selepas edisi 2026, sambil menegaskan cadangan itu wajar dipertimbangkan secara serius.
Menurut beliau, pengembangan itu tidak semestinya meningkatkan jumlah perlawanan yang perlu diharungi setiap pasukan sekiranya format kejohanan diubah semula dengan hanya dua pasukan terbaik setiap kumpulan mara ke pusingan kalah mati.
“Seluruh dunia mesti diberi peluang untuk mengimpikan Piala Dunia, bukan hanya Eropah dan Amerika Selatan,” katanya kepada portal Switzerland, blue Sport, yang dipetik agensi berita Jerman, dpa.
Piala Dunia 2026 di Amerika Syarikat (AS), Kanada dan Mexico menjadi edisi pertama menampilkan 48 pasukan, meningkat daripada 32 sebelum ini.
Format baharu itu turut menyaksikan lapan pasukan tempat ketiga terbaik layak ke pusingan kalah mati sekali gus menjadikan kejohanan lebih terbuka kepada negara-negara yang sebelum ini sukar menembusi pentas tertinggi bola sepak dunia.
Infantino berkata, kebimbangan terhadap penurunan kualiti saingan akibat penambahan jumlah pasukan ternyata tidak berasas berdasarkan aksi di Amerika Utara ketika ini.
“Pengembangan ini adalah satu kejayaan besar. Anda boleh lihat kualiti pasukan secara keseluruhan sangat tinggi dan semakin meningkat di seluruh dunia,” katanya.
Edisi 2026 menyaksikan rekod 104 perlawanan berlangsung sepanjang lima minggu, namun jika penyertaan ditingkatkan kepada 64 pasukan, jumlah perlawanan dijangka melonjak kepada 128.
Cadangan itu bukan sesuatu yang baharu apabila pegawai bola sepak Amerika Selatan sebelum ini pernah mengusulkan format 64 pasukan bagi Piala Dunia 2030.
Piala Dunia 2030 dijadual berlangsung di enam negara iaitu Sepanyol, Portugal, Maghribi, Argentina, Uruguay dan Paraguay.-AGENSI










