PETALING JAYA: Parti Bersama Malaysia (Bersama) hanya menjadi pengacau undi dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor Ke-16 apabila kehadiran parti itu didakwa membantu Barisan Nasional (BN) memenangi lebih banyak kerusi.
Ahli Jawatankuasa Tertinggi DAP, Tony Pua berkata, undi kepada Bersama secara tidak langsung memberi kelebihan kepada BN, khususnya di kerusi yang menyaksikan persaingan sengit.
“Bersama hanya akan menjadi pengacau. Kita kalah di Perling dengan kira-kira 1,800 undi. Bersama mendapat hampir 3,000 undi.
“Mereka juga hampir berjaya mengganggu keputusan di Stulang apabila kita menang tipis dengan majoriti 600 undi. PKR juga kalah di Bukit Batu kerana gangguan Bersama,” katanya dalam kenyataan.
Tony berkata, undi kepada Bersama secara efektif bermaksud memberi ruang kepada BN untuk memenangi lebih banyak kerusi.
Beliau berkata, Pakatan Harapan (PH) sudah menjangkakan cabaran sukar dalam PRN Johor kerana negeri itu merupakan kubu terkuat UMNO.
Katanya, keputusan BN bergerak secara bersendirian di Johor juga tidak mengejutkan kerana gabungan itu mempunyai kelebihan besar di negeri berkenaan.
“Kami bersedia menghadapi keputusan terburuk. Ada sebab mengapa BN berkeras mahu pilihan raya solo lebih awal di Johor kerana ia tidak dapat dinafikan sebagai negeri terkuat UMNO,” katanya.
Beliau berkata, cabaran PH menjadi lebih sukar selepas Pas mengarahkan ahlinya menyokong BN di kerusi yang tidak ditandingi parti itu secara strategik.
Sementara itu, beliau sebelum ini menyatakan bahawa mengekalkan tujuh daripada 10 kerusi sudah dianggap keputusan baik bagi DAP.
“Kita mendapat enam kerusi dan tewas dua kerusi dengan majoriti kecil. Ia bukan keputusan yang hebat, tetapi masih boleh dianggap munasabah.
“Kita terselamat, tetapi hanya cukup-cukup. Kita perlu melakukan lebih baik.
“Seterusnya di Negeri Sembilan yang mempunyai landskap politik berbeza. Perjuangan diteruskan,” katanya. – UTUSAN










