Fungsi PN sebagai pembangkang tidak melemah - Dominic Lau

Fungsi PN sebagai pembangkang tidak melemah – Dominic Lau

DOMINIC Lau (dua dari kanan) menunjukkan intipati kandungan Mesyuarat Ahli Jawatankuasa Pusat Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) di Pejabat Gerakan, George Town, Pulau Pinang
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN : Fungsi Perikatan Nasional (PN) sebagai pembangkang di negara ini tidak akan melemah biarpun terdapat wakil-wakil rakyat daripada kalangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) bertindak menyokong Kerajaan Madani pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Timbalan Pengerusinya, Datuk Dr. Dominic Lau berkata, sebaliknya, semangat PN serta rakan-rakan komponen menjadi semakin kuat memandangkan kesemua mereka sudah mengetahui taktik-taktik yang digunakan oleh Kerajaan Madani untuk cuba melemahkan parti gabungan itu.

“Sebelum ini, kita tidak tahu bagaimana mereka mahu serang kita, mahu mencemarkan imej PN atau adakah mereka mahu mengambil tindakan undang-undang kepada pemimpin PN.

“Sekarang, mereka sudah gunakan ‘taktik kotor’ iaitu menggunakan keistimewaan sebagai kerajaan dan kemudian berikan peruntukan untuk menarik sokongan (wakil rakyat Bersatu) kepada kerajaan.

“Perkara ini tidak akan melemahkan PN, malah kita akan menjadi semakin kuat,” katanya dalam sidang akhbar selepas Mesyuarat Ahli Jawatankuasa Pusat Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) di Pejabat Gerakan Pulau Pinang, di sini hari ini.

DOMINIC Lau (tengah) selepas mempengerusikan Mesyuarat Ahli Jawatankuasa Pusat Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) di Pejabat Gerakan, George Town, Pulau Pinang

Sebelum ini, enam Ahli Parlimen Bersatu telah menyatakan sokongan kepada Anwar dan mereka adalah Datuk Zulkafperi Hanapi (Tanjong Karang); Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang); Zahari Kechik (Jeli); Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang); Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar); dan Datuk Suhaili Abdul Rahman (Labuan).

Susulan itu, Perhimpunan Agung Khas Bersatu pada 2 Mac lalu meluluskan pindaan perlembagaan parti itu berhubung pelucutan keahlian parti bagi ahli Parlimen dan ADUN serta Ahli Dewan Negeri yang menyokong mana-mana pihak yang bertentangan dengan parti atau musuh.

Bagaimanapun, pada 6 Mac, ADUN Selat Klang, Datuk Abdul Rashid Asari pula mengisytiharkan sokongan kepada Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amiruddin Shari.

Dominic yang juga Presiden Gerakan berkata, setakat ini tidak ada tanda-tanda bahawa akan ada mana-mana wakil rakyat daripada Bersatu akan menyokong Kerajaan Madani.

“Kita tidak nampak ada tanda akan ada kerusi seterusnya yang akan memberi sokongan kepada Kerajaan Madani,” katanya.

Dalam pada itu, jelas beliau, wakil-wakil rakyat pembangkang akan terus memberi khidmat kepada rakyat walaupun tanpa sebarang peruntukan daripada kerajaan pimpinan Anwar itu.

“Memang kita tidak ada peruntukan, tetapi bagaimana dulu Kelantan tidak ada peruntukan mereka pun boleh berkhidmat kepada rakyat dan boleh mendapat undi daripada rakyat begitu juga di Terengganu. Jadi, kita akan teruskan memberi khidmat kepada rakyat walaupun tanpa sebarang peruntukan,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN