KUALA LUMPUR: Perbadanan Kemajuan Filem Malaysia (Finas) menjadikan usaha menyemarakkan pembangunan idea bagi penghasilan drama dan filem tempatan yang berkualiti tinggi keutamaan pihaknya.
Ketua Pegawai Eksekutif Finas, Datuk Azmir Saifuddin berkata, langkah tersebut untuk membasmi filem-filem bertaraf ‘sampah’ yang semakin banyak dihasilkan kebelakangan ini.
“Kami telah kenal pasti filem-filem ini. Tetapi peratusan filem tak berkualiti tidaklah banyak jika dibandingkan dengan filem yang bagus.
“Apa pun, Finas akan atasi kelemahan. Fokus kami adalah kepada pembangunan idea dengan mempelbagaikan program usahasama membabitkan penggiat antarabangsa untuk memberi pendedahan kepada pembikin tempatan.
“Kami bercadang menghantar penulis skrip dan penerbit mengikuti program kerjasama berkenaan,” katanya dalam sidang media Festival Filem Antarabangsa Malaysia ke-7 baru-baru ini.
Beliau mengulas tentang kebanjiran filem-filem tempatan berkualiti rendah yang lolos tayangan di pawagam seluruh negara kebelakangan ini.
Dalam pada itu, Azmir menasihatkan pembikin filem tempatan agar menyahut seruan kerajaan dengan menghasilkan filem tempatan berkualiti demi kelangsungan industri perfileman negara.
“Kita tak boleh menjangkakan sambutan masyarakat terhadap filem kita. Tapi kita boleh tetapkan hala tuju serta kualiti filem yang dihasilkan. Kepada pembikin filem, belajarlah dan perbaikilah mutu penghasilan filem apabila gagal di percubaan pertama.
“Kerajaan dah sediakan platform dan wujudkan peluang. Tinggal kita untuk meneruskan dan memanfaatkan peluang yang diberikan,” ujarnya. – UTUSAN










