Feel Koplo mahu remix lagu ‘Cindai’, suka Siti Nurhaliza - Utusan Malaysia

Feel Koplo mahu remix lagu ‘Cindai’, suka Siti Nurhaliza

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kumpulan penyanyi dangdut elektronik Indonesia, Feel Koplo meluahkan hasrat untuk menyuntik elemen muzik remix lagu Cindai nyanyian penyanyi nombor satu negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza.

Jelas Maulfi Ikhsan, nama Siti Nurhaliza sangat besar di Indonesia terutama kepada generasi 90-an lantas hasrat tersebut menjadi antara strateginya untuk terus melebarkan sayap dalam genre dangdut elektronik.

“Kalau generasi 90-an seperti kami, nama Siti Nurhaliza sangat terkenal dan diingati. Bahkan apa-apa berita serta gosip membabitkannya juga sering ditayangkan di televisyen.

“Jadi, impian kami ialah untuk remix salah satu daripada lagu mahakarya nyanyiannya, Cindai,” katanya menerusi satu sesi temu ramah dalam talian baru-baru ini.

Sebelum ini, Feel Koplo mencuri tumpuan apabila menghasilkan lagu remix dengan sentuhan dangdut menerusi lagu seperti Besok kolaborasi bersama D’masiv.

Selain Siti Nurhaliza, Feel Koplo yang juga dianggotai Tendi Ahmad itu ingin bekerjasama dengan kumpulan Masdo.

“Masdo sudah dikenali di Indonesia khususnya lagu Dinda kerana pernah tular di TikTok. Kebetulan kami pernah bertemu dan lebih mudah jika mahu bekerjasama.

“Sebelum melakukan lagu remix, kami akan meminta kebenaran daripada komposer dan artis. Proses itu penting sebelum kami melancarkan dan memuat naik lagu itu secara rasmi,” katanya.

Band asal Bandung itu bakal mengadakan persembahan pertamanya di Malaysia menerusi festival Aku, Muzik Dan Kamu 2.0 yang akan berlangsung di Johor Bharu pada 18 Jun depan.

“Ini momen yang paling ditunggu-tunggu oleh Koplo. Setlist masih dalam proses, kerana perlu mengikut rentak dan minat pendengar di Malaysia,” katanya.

Untuk info, Cindai merupakan lagu ciptaan Allahyarham Datuk Suhaimi Mohd. Zain atau Pak Ngah dan lirik oleh Hairul Anuar Harun.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN