Exco Pemuda UMNO gesa KK Mart gantung kain rentang mohon maaf - Utusan Malaysia

Exco Pemuda UMNO gesa KK Mart gantung kain rentang mohon maaf

KK Mart
GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Pemilik perniagaan kedai serbaneka KK Supermart & Superstore Sdn Bhd (KK Mart) digesa menggantung kain rentang permohonan maaf dekat setiap cawangannya sebagai komitmen dan kesungguhan mereka menghormati sensitiviti agama.

Exco Pemuda UMNO, Datuk Seri Fariz Hazurin Ismail berkata, tindakan drastik yang diambil membatalkan penjualan stoking berjenama Miranosock itu hanyalah permulaan bagi menyelesaikan polemik sensitiviti agama dilakukan.

“Permohonan wajib disiarkan secara terbuka di semua cawangan KK Mart dengan kain rentang yang menonjol. Selagi tiada permohonan maaf terpampang pada kain rentang, tindakan boikot akan sentiasa diteruskan dan diperkukuhkan.

“Tiada alasan untuk melengah-lengahkan atau menyembunyikan kesilapan yang telah dilakukan. Tindakan ini adalah sangat penting sebagai tanda mengaku salah serta sebagai langkah yang mesti diambil untuk menunjukkan tanggungjawab sosial dan kepekaan terhadap sensitiviti agama,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan, Ketua Pemuda UMNO, Dr. Muhamad Akmal Saleh memaklumkan, beliau lebih rela kehilangan jawatan daripada melepaskan tanggungjawab membela agama Islam dalam isu penjualan stoking yang menghina kalimah Allah.

Beliau juga tidak peduli dengan asakan daripada pelbagai pemimpin parti lain dalam isu tersebut kerana yakin tindakan diambil adalah selaras dengan perjuangan UMNO yang mempertahankan hak dan maruah orang Melayu dan Islam.

Dalam pada itu, Fariz Hazurin menegaskan KK Mart juga perlu mengadakan dialog terbuka antara orang awam dengan syarikat bagi menjelaskan perincian keputusan yang diambil untuk mendengar pandangan serta kebimbangan masyarakat.

“Sekiranya langkah-langkah ini tidak diambil dengan serius dan segera oleh KK Mart, terutamanya selagi tiada permohonan maaf pada banting, maka tindakan boikot akan diteruskan tanpa belas kasihan terhadap syarikat ini.

“Semua pengguna wajar untuk menyokong usaha ini dalam menekan syarikat untuk bertindak secara bertanggungjawab dan menghormati pegangan agama setiap individu,” jelasnya.

Pada 13 Mac lalu, tular dalam media sosial isu stoking tertera kalimah Allah dijual di KK Mart Bandar Sunway, selepas gambar produk itu dimuat naik pengguna.

Dalam pada itu, KK Mart dilaporkan memohon maaf berhubung penjualan stoking berjenama Miranosock yang tertera kalimah ‘Allah’, di beberapa cawangan kedai serbaneka itu.

Syarikat itu berkata, jualan stoking berkenaan telah dihentikan serta-merta sementara menunggu penjelasan daripada pembekal. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN