IPOH: Empat lelaki termasuk seorang pelajar universiti dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan merogol dan melakukan amang seksual fizikal terhadap dua remaja perempuan, November lalu.
Tertuduh, Norarisman Salleh, 27; Muhammad Alif Muhammad Zamhari, 23; Muhammad Fariq Fadzilan, 30, dan Muhamad Ikqwanniezam Abdullah, 24, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Norita Mohd. Ardani.
Mengikut kertas pertuduhan, Norarisman, Muhammad Fariq dan Muhamad Ikqwanniezam didakwa merogol seorang remaja perempuan berusia 14 tahun di sebuah bilik sewa di Jalan Besar Kampung Baru Mambang Diawan, di dalam daerah Kampar pada pukul 3.30 petang hingga 10.30 malam, awal November 2023.
Pertuduhan terhadap ketiga-tiga lelaki yang juga pekerja kilang, penganggur dan pengawal keselamatan itu dikemukakan mengikut Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan.
Jika sabit kesalahan, kesemua tertuduh boleh dijatuhi hukuman penjara selama tempoh yang boleh sampai 20 tahun dan hendaklah juga dihukum dengan sebatan.
Pada prosiding di mahkamah sama, Norarisman dan Muhammad Alif yang merupakan pelajar sebuah universiti tempatan didakwa melakukan amang seksual fizikal dengan cara menyentuh payudara dan kemaluan dua remaja perempuan berusia 14 dan 15 tahun.
Kedua-dua mereka didakwa melakukan perbuatan itu di lokasi, masa dan tarikh yang sama.
Bagi kesalahan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 14 (c) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Qurratu’aini Khalifah manakala Norarisman diwakili peguam, V. Santhiran, Muhammad Alif (Syahrul Nizam Mohd. Rabi), Muhammad Fariq (Syamil Haidhar Abdul Jalil Alwi) dan Muhamad Ikqwanniezam (Manal Hayati Mohd. Ariff).
Terdahulu, Qurratu’aini tidak menawarkan sebarang jaminan namun kesemua tertuduh yang diwakili peguam masing-masing memohon agar jaminan diberikan dengan jumlah jaminan minimum.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin bagi setiap pertuduhan beserta syarat tambahan tidak dibenarkan mengganggu mangsa dan pengadu sehingga kes selesai.
Tarikh sebutan semula kes untuk serahan dokumen membabitkan Norarisman, Muhammad Fariq dan Muhamad Ikqwanniezam ditetapkan pada 8 Mei depan manakala bagi kes Muhammad Alif pula pada 10 Mei ini. – UTUSAN










