RAUB: Pengguna Lingkaran Tengah Utama (LTU) Seksyen 5A: Raub ByPass di sini diminta memanfaatkan kemudahan itu termasuk menjaga kebersihan dengan tidak sewenang-wenangnya membuang sampah sarap di laluan tersebut.
Sebelum ini, pengguna LTU Padang Tengku, Lipis, dekat sini ke Gua Musang, Kelantan disifatkan sebagai pengotor kerana sikap buruk mereka membuang sampah di bahu jalan di situ.
Lebih menyedihkan lagi ‘pemandangan’ sampah sarap bertaburan di atas jalan raya di LTU terbabit akan berulang apabila tiba musim perayaan dan cuti sekolah disebabkan tiada kemudahan hentian rehat dan rawat (RnR) di laluan tersebut.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, penduduk dari Kampung Budu, Lipis, Muhammad Fadhil Roslizan, 32, berkata, pengguna LTU perlu memanfaatkan kemudahan itu termasuk menjaga kebersihan di laluan terbabit.
“Sebelum ini, lebuh raya itu sering dicemari dan menjadi ‘port’ sampah sarap yang dibuang sewenang-wenangnya oleh pengguna yang melalui laluan tersebut.
“Saya harap pihak berkaitan dapat segera menyediakan RnR di LTU bagi kemudahan dan keselesaan pengguna jalan raya.
“Ini juga dapat mengatasi masalah sampah sarap seperti plastik bungkusan makanan, polisterin dan kotak minuman yang sering dibuang dari tingkap kenderaan atau yang berhenti rehat di tepi jalan ketika musim cuti perayaan dan cuti sekolah,” katanya di sini.
Seorang penduduk dari Kampung Melayu Cheroh, Azzahara Husain, 30, pula berkata, pembukaan Raub ByPass dapat memberi keselesaan kepada pengguna dan mengurangkan kesesakan lalu lintas serta menjimatkan masa perjalanan.
Penduduk dari Kampung Janda Baik, Bentong, Noraimi Zulkipli, 38, pula berkata, pembukaan laluan itu dapat memendekkan perjalanan pengguna dari Lembah Klang pulang ke Pahang dan Kelantan.
“Laluan ini menyingkatkan masa perjalanan pengguna daripada Kuala Lumpur ke Kelantan kepada tiga jam sahaja berbanding 20 jam ketika musim perayaan.
“Orang ramai juga dapat menikmati perjalanan. lebih selesa dengan jalan baharu empat lorong dua hala berbanding jalan lama yang hanya dua lorong satu hala,” ujarnya. –UTUSAN










