KUALA LANGAT: Polis sedang memburu dua lelaki bertopi keledar yang meragut rantai leher pekerja sebuah kedai serbaneka di Jenjarom di sini, menerusi satu laporan dibuat mangsa, semalam.
Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Deputi Superintendan Mohd. Sufian Amin berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kejadian menimpa wanita berusia 51 tahun itu pukul 12.24 tengah hari.
“Mangsa mendakwa didatangi dua lelaki tempatan yang memakai topi keledar ke dalam kedai tersebut. Salah seorang suspek kemudian menarik rantai leher hingga menyebabkan dia terjatuh,” katanya hari ini.
Terdahulu, satu rakaman video berdurasi 17 saat tular di media sosial memaparkan tindakan dua lelaki nekad meragut rantai leher seorang wanita di kedai tersebut.
Jelas Mohd. Sufian, satu kertas siasatan dibuka pihaknya dan usaha mengesan suspek masih giat dijalankan.
“Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan. Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai kejadian diminta menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Langat di talian 03-31872222 atau balai polis berdekatan,” ujarnya.
Tambah beliau, semua pihak dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu siasatan polis. – UTUSAN










