KANGAR: Penjual air balang di bazar Ramadan sekitar negeri ini tidak ‘menang tangan’ berikutan sambutan luar biasa pelanggan yang lebih banyak membeli air untuk berbuka puasa ekoran cuaca panas melampau di Perlis yang mencecah 37 sehingga 40 darjah Celsius.
Malah, bagi seorang peniaga di bazar Ramadan Persiaran Wawasan, Gua Sami di sini, Muhamad Syaiful Abdul Ghani, 28, memaklumkan, 10 balang air atau 300 ke 500 bungkus air pelbagai jenis di gerainya habis setiap hari.
Berikutan sambutan memberangsangkan itu, dia juga mampu menjana pendapatan antara RM1,500 ke RM2,000 sehari dengan tidak keterlaluan dikatakan air antara yang paling laris di bazar Ramadan tahun ini.
Kata Muhamad Syaiful, dia menjual 10 jenis air di gerainya antaranya seperti coklat flood, lemon asam boi, blue lemon, ribena laici, teh bunga, oren pudina, jagung dan pelbagai lagi.
Ujarnya, sebungkus air dijual dengan harga RM4 dan RM10 bagi tiga bungkus air dengan selalunya pelanggan membeli lebih daripada tiga bungkus untuk berbuka puasa.
“Sekarang ini Perlis terlalu panas dengan terik dan bahangnya cukup dirasai apabila berada di luar rumah. Sebab itu, saya lihat orang ramai lebih banyak membeli air berbanding juadah-juadah lain di bazar Ramadan kali ini.
“Di bazar Ramadan Persiaran Wawasan Gua Sami ini sahaja lebih 80 peniaga air menawarkan pelbagai jenis air dengan pelbagai harga yang berpatutan,” katanya.
Seorang lagi peniaga air di bazar di Arau, Osman Nasir, 36, berkata, setiap hari lima balang pelbagai jenis air yang dijual habis dengan air buah paling mencuri tumpuan.
Katanya, seorang pelanggan sekurang-kurangnya membeli tiga jenis air malah ada diantarannya membeli sehingga enam bungkus untuk berbuka puasa.
“Cuaca di Perlis sangat panas dan dugaan terbesar berpuasa kali ini adalah berdepan dengan bahang panas berkenaan. Pukul 11 pagi sudah panas dan menjelang tengah hari dan petang khususnya dari pukul 1 sehingga 6 petang, keadaan sangat panas.
“Disebabkan itu puasa kali ini, dahaga lebih dirasai berbanding lapar untuk menikmati makanan. Kalau dilihat, rata-rata yang datang bazar kali ini lebih kepada membeli air selain makanan,” katanya. – UTUSAN










