PETALING JAYA: Siapa sangka, hasrat seorang pembeli menikmati martabak yang dibelinya di bazar Ramadan, bertukar menjadi pengalaman tragis apabila makanan dibelinya itu didakwa adalah kain buruk.
Kejadian itu dikongsi pengguna media sosial di Facebooknya, Yuhaiza Hamid, yang memuat naik tiga gambar martabak sambil menunjukkan kain buruk pada makanan itu.
Yuhaiza mendakwa, martabak itu dibeli di bazar di Desa Pandan, Ampang, namun tidak menjelaskan secara terperinci maklumat peniaga yang menjual makanan berkenaan.
Dia memberitahu, pada awalnya cuba memotong martabak tersebut pada dua bahagian, namun gagal berbuat demikian.
Dia turut memaklumkam membayar makanan tersebut menggunakan transaksi QR dan menyimpan bukti bagi menyokong dakwaannya.
“Lillahita’ala. Saya beli martabak di bazar Desa Pandan. Potong dua (lalu) saya pelik (martabak) tidak boleh potong.
“Rupanya kain buruk. Allah. Ini kain burukkah atau pelaris? Terus muntah sekeluarga,” katanya dalam hantaran di Facebooknya. –UTUSAN











