Bazar Stadium Shah Alam: Martabak RM7, ayam golek RM27 - Utusan Malaysia

Bazar Stadium Shah Alam: Martabak RM7, ayam golek RM27

Bazar
PENGUNJUNG Bazar Stadium Shah Alam membeli martabak untuk hidangan berbuka puasa, dekat Seksyen 13, di Shah Alam, Selangor. - UTUSAN / MOHAMAD NAUFAL MOHAMAD IDRIS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: “Naik terlalu tinggi takut pelanggan lari, murah sangat takut rugi.”

Demikian situasi dihadapi rata-rata peniaga dekat lokasi jualan makanan tumpuan di bandar raya ini pada bulan Ramadan, Bazar Stadium Shah Alam yang menawarkan pelbagai juadah untuk hidangan berbuka puasa.

Antara menu ‘wajib’ dijual di bazar Ramadan pastinya ayam golek untuk dimakan ketika berbuka dan boleh disimpan sehingga sahur, salah seorang peniaganya yang mahu dikenali sebagai Isa berkata, harga jualannya pada tahun ini terpaksa dinaikkan selepas peningkatan kos bahan mentah.

Menurutnya, antara bahan-bahan yang berlaku perubahan seperti rempah-rempah, bawang putih, lada hitam, cili yang naik sekitar lima hingga 10 peratus walaupun diberi secara pukal atau borong.

“Kalau sebelum ini atau pada tahun lalu, ayam golek dijual pada harga RM20 hingga RM25 malah ada yang murah pada harga RM17 atau RM18 seekor. Tetapi, tahun ini saya lihat harga itu agak mustahil untuk ditawarkan.

“Mahu atau tidak, memang kena naik dan kini dijual pada harga RM27 seekor. Memang patut naik lebih, tetapi kita pun faham kalau terlalu mahal orang tak mahu beli. Naik terlalu tinggi  tinggi takut pelanggan lari, murah sangat takut rugi ,” katanya ketika ditemui.

Sementara itu, dalam tinjauan Utusan Malaysia dekat bazar terbesar di Shah Alam mendapati menu-menu lazim yang dijual ketika bulan Ramadan seperti roti john, martabak dan sebagainya naik antara RM1 hingga RM7.

Malah, makanan yang lazim dijual pada hari biasa seperti mi rebus juga naik harga antara RM1 hingga RM3 sebungkus. Demikian juga harga minuman seperti cendol, air buah-buahan, tebu yang dijual pada harga bermula RM3.

Seorang peniaga gerai minuman yang mahu dikenali sebagai Ahmad memberitahu, kos lain mungkin tidak banyak tetapi yang ketara pada harga buah-buahan apabila pembelian borong tidak lagi murah berbanding dulu.

“Berapa ringgit sebiji buah mangga naik itu saya tidak pasti, tapi memang ada kenaikan. Selain itu, harga air kami mahal sedikit kerana selain menggunakan buah mangga, kita ada masukkan ais krim, campuran cocktail dan susu yogurt dalam air mangga ini,” ujarnya.

Walau bagaimanapun, bazar dekat lokasi ikonik di Seksyen 13 itu tetap kunjungan jumlah pengunjung yang ramai untuk membeli hidangan berbuka puasa. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN