PETALING JAYA: Pelakon, Farid Kamil mengaku janggal apabila pertama kali bergandingan dengan isterinya, Diana Danielle di layar perak menerusi sebuah filem seram yang masih dalam proses penggambaran.
Kata Farid, kerjasama dengan Diana dalam filem tersebut menghadirkan pengalaman baharu untuk mereka berdua sebagai bergelar suami isteri.
“Kami pernah berlakon dalam filem yang sama namun tidak dalam satu babak. Bezanya kali ini, banyak babak kami lakomkan bersama.
“Kali ini, kami selalu bincang tentang watak termasuk selepas penggambaran. Awalnya memang susah nak kekalkan profesionalisme disebabkan status kami sebagai suami isteri.
“Emosi amarah ketika berlakon tak boleh dibawa ke rumah. Sekarang baru saya faham kenapa ada pelakon suami isteri mengatakan sukar berlakon bersama,” katanya.
Farid mengulas tentang filem terbarunya, Baran yang dijangka ditayangkan tahun depan.
Filem tersebut merupakan naskhah pertama menggandingkan pasangan suami isteri itu dalam satu naskhah.
Dalam pada itu, pelakon berusia 42 tahun itu memaklumkan skrip yang bagus dan berlainan menjadi antara faktor dia dan Diana menerima tawaran berlakon dalam filem arahan Joel Soh itu.
“Kami menantikan sebuah skrip yang baik dan tidak bercanggah dengan realiti kehidupan kami sebagai suami isteri. Skrip Baran berbeza, membuatkan kami setuju untuk menjadi pelakon utama didalamnya.
“Pada masa yang sama, berlakon dengan isteri sendiri adalah pengalaman baharu yang perlu saya teroka lagi,” ujarnya.








