Bapa reda pemergian Wan Muhammad Haikal - Utusan Malaysia

Bapa reda pemergian Wan Muhammad Haikal

WAN Hussin Wan Ishak (kiri) memerhati isterinya, Hamsah Omar menyiram pusara Wan Muhammad Haikal di Tanah Perkuburam Islam Kampung Alor Selising, Jertih, Besut, malam ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BESUT: Bapa kepada pesilat dari Terengganu yang meninggal dunia ketika bertarung dalam satu kejohanan di Sikamat, Seremban, Negeri Sembilan pagi tadi, Wan Hussin Wan Ishak mengharapkan keajaiban apabila menerima berita kemalangan yang menimpa anak lelakinya itu semalam.

Wan Hussin, 61, berkata, dia menerima berita anaknya, Allahyarham Wan Muhammad Haikal dikejarkan ke Hospital Hospital Tuanku Jaafar (HTJ) di Seremban daripada pengurusan pasukan silat Terengganu kira-kira pukul 4 petang.

Menurutnya, dia bersama isteri, Hamsah Omar, 52, bertolak ke Seremban kira-kira pukul 11.30 malam semalam dan tiba di HTJ pada pukul 5 pagi tadi.

Katanya, sepanjang perjalanan mereka tidak putus-putus berdoa walaupun hatinya tidak tenteram apabila terlalu kerap menerima panggilan daripada pihak hospital.

“Sebagai seorang bapa, mesti ada sesuatu yang tidak kena terhadap anak lelakinya itu tetapi sebab saya pergi dengan isteri dan kalau saya ikut perasan takut dia lebih lagi, jadi saya perlu kuat dan tidak terlalu melayan perasaan.

“Akhirnya rasa tidak sedap hati itu terjawab apabila dimaklumkan anak sudah tiada. Memang sedih tapi kita reda sebab kita tahu semua orang akan pergi ke sana dan sudah sampai ajalnya,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Alor Selising di sini, malam ini.

Wan Hussin memberitahu, dia kali terakhir bertemu arwah anaknya itu yang padat jadual latihan pada awal Januari lalu.

“Arwah ada memaklumkan akan pulang ke kampung selepas kejohanan silat di Negeri Sembilan, namun tidak sangka hanya jasad anaknya yang pulang,” ujarnya.

Jenazah Allahyarham Wan Muhammad Haikal telah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburam Islam Kampung Alor Selising, Jertih di sini pada pukul 10 malam ini.

Jenazah yang dibawa dari Hospital Tuanku Ja’afar Seremban (HTJS) tiba di rumahnya di Kampung Alor Selising pada pukul 8.53 malam dan dibawa ke Masjid Al-Huda untuk disembahyangkan sebelum dikebumikan.

Allahyarham Wan Muhammad Haikal meninggal dunia kira-kira pukul 1.20 pagi tadi ketika mendapatkan rawatan di HTJS. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN