ABU DHABI: Jabatan Pendidikan dan Pengetahuan Abu Dhabi (ADEK) menetapkan garis panduan baharu yang membolehkan ibu bapa menjelaskan bayaran yuran pengajian sekolah swasta secara fleksibel menerusi ansuran antara tiga hingga 10 kali bayaran.
Menerusi peraturan terbaharu itu, pihak sekolah swasta diwajibkan menawarkan sekurang-kurangnya tiga ansuran berkadar sama rata bagi yuran pengajian.
Pihak sekolah juga memberikan pilihan kepada ibu bapa untuk membenarkan bayaran sehingga 10 kali ansuran mengikut kemampuan ibu bapa.
Namun, pihak sekolah turut diberikan hak untuk mengutip bayaran ansuran pertama seawal satu bulan sebelum sesi persekolahan baharu bermula.
Selain kemudahan bayaran secara ansuran, dasar baharu ADEK ini juga menggesa sekolah swasta untuk mengecualikan ibu bapa daripada membuat bayaran komponen tertentu seperti peranti digital, buku teks dan pakaian seragam.
Pengecualian itu diberikan sekiranya mereka memilih untuk menggunakan bahan terpakai.
Pengecualian ini terpakai bagi barangan terpakai yang dibeli semula atau disumbangkan selagi ia memenuhi keperluan dan piawaian semasa sekolah dari segi edisi buku selain warna serta rekaan seragam terkini.
Menerusi Dasar Yuran Sekolah terbaharu ini, sekolah swasta diwajibkan membahagikan struktur yuran yang telah diluluskan kepada enam komponen utama.
Komponen berkenaan merangkumi yuran pengajian, sumber pendidikan, pakaian seragam sekolah, pengangkutan dan aktiviti kokurikulum.
Ia termasuk yuran-yuran lain selain yuran berasingan bagi pendaftaran peperiksaan awam. – AGENSI










