KAMPAR: Seorang operator kilang di sebuah kilang elektronik di Tapah yang maut dalam kemalangan di Jalan Datuk Ahmad di sini baru-baru ini seakan-akan mengetahui ajalnya apabila membuat persiapan Hari Raya Aidilfitri lebih awal untuk keluarganya.
Nurrul Anisah Dek Kamil, 26, anak tunggal kepada pasangan Dek Kamil Musa, 60, dan Noor Asmah Mior Hamjah, 57, sempat membeli pakaian raya sedondon berwarna hijau, tudung dan langsir berwarna putih sebelum terlibat dalam kemalangan pada 10 Mac lalu.
Menurut Noor Asmah, anaknya membeli kelengkapan Aidilfitri itu selepas dapat bonus pada Tahun Baru Cina lalu.
“Namun, Along (nama panggilan buat anaknya) menunjukkan beberapa perubahan sikap sebelum kejadian iaitu seperti kata ‘seronok nak duduk rumah baru’ tetapi saya tidak perasan kerana kebetulan pada masa itu sedang buat ubah suai rumah.
“Malah, sebelum ini, dia selalu beli pakaian dan persiapan untuk Syawal beberapa hari sebelum raya tetapi kali ini arwah beli pakaian raya sedondon untuk kami sekeluarga berwarna hijau.
“Dia (arwah) juga beritahu kami mungkin tahun depan kami tidak akan merasa lagi duit bonusnya,” katanya ketika menerima kunjungan Pengurus Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) Teluk Intan, S Mageswari dan Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi, Multimedia dan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Perak, Mohd Azlan Helmi Helmi di Kampung Changkat Belulang, di sini semalam.
Katanya lagi, ketika kemalangan dia sedang menunggu anaknya pulang dari kerja dengan menunggang motosikal Modenas 120 miliknya di kebun sayur di Bunga Tanjung kira-kira pukul 10.30 pagi.
“Selalu jam 10.25 pagi arwah dah sampai dan dalam hati rasa anak jatuh. Tidak lama kemudian anak saudara yang tinggal berhampiran bawa saya ke lokasi anak jatuh motosikal.
“Mulanya arwah dibawa ke Hospital Kampar sebelum dipindahkan ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh untuk mendapatkan rawatan lanjut,” katanya.
Noor Asmah memberitahu, arwah meninggal dunia pada 11 Mac pada pukul 12.59 tengah hari kerana kecederaan parah di beberapa bahagian badan antaranya tulang rusuk berkecai dan tempurung kepala retak.
Dalam perkembangan berkaitan, Mageswari memaklumkan Nurrul Anisah merupakan seorang pekerja formal yang menerima gaji dari majikan sekal igus telah mencarum di bawah Perkeso.
“Kemalangan itu berlaku di luar waktu kerja dan ibu bapa adalah waris yang layak. Mereka menerima Faedah Pengurusan Jenazah RM2,000 dan akan menerima pencen seumur hidup setiap bulan bernilai RM434.50 April ini,” katanya.
Perkeso turut menyampaikan Kotak Perkeso Prihatin yang mengandungi barangan keperluan asas kepada keluarga itu. – UTUSAN










