PMM, Jabatan Perikanan perlu aset canggih lawan perompak laut

APMM, Jabatan Perikanan perlu aset canggih lawan perompak laut

Pencerobohan nelayan asing Vietnam akan terus berlaku jika aset keselamatan di kawasan sempadan tidak dipertingkatkan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Masalah nelayan asing menceroboh dan mengaut hasil laut bernilai ratusan juta setiap tahun akan terus berlaku selagi penguatkuasaan dan aset menjaga perairan negara ibarat `sekadar ada’.

Bercakap kepada Mingguan Malaysia, Pengerusi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Muhammad Faiz Fadzil berkata, jika benar-benar mahu menyekat ‘rompakan’ hasil laut, kerajaan perlu bersedia melabur dengan membeli aset canggih untuk menghalau penceroboh.

Menurut beliau, selain itu, cara dan sistem penguatkuasaan yang kini membabitkan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan Jabatan Perikanan juga perlu berubah supaya seiring dengan kelicikan nelayan asing yang tidak berhenti cuba merompak hasil laut negara.

“Penguatkuasaan dalam negara kita ini dilaksanakan oleh APMM dan Jabatan Perikanan, namun agak lemah dan kurang berkesan, jadi kerajaan perlu ada sejumlah peruntukan yang tinggi untuk menambah aset penguatkuasaan dan bukan seperti sekarang `sekadar ada’.

“Aset kita memang kurang dan tidak banyak, jadi dengan cara ini pencerobohan diyakini dapat dikurangkan,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Muhammad Faiz berkata, sebagai contoh APMM dan Jabatan Perikanan ketika ini memiliki pengurangan aset dari segi kapal untuk membuat rondaan dan ia perlu ditambah bagi membantu operasi ketika berlaku pencerobohan.

Terdahulu, dilaporkan Malaysia mengalami kerugian sehingga RM823 juta akibat pencerobohan kapal nelayan asing yang menangkap hasil laut di perairan negara antara tahun 2020 hingga 2023.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu dilaporkan berkata, dalam tempoh itu sebanyak 428 kes direkodkan oleh Jabatan Perikanan (DOF), Agensi Penguatkuasa Maritim (Maritim Malaysia) dan Polis Marin.

Pecahan anggaran kerugian mengikut tahun adalah RM225.22 juta pada 2020 (117 kes), RM238.69 juta pada tahun 2021 (124 kes), RM200.19 juta pada tahun 2022 (104 kes) dan RM159.77 juta pada tahun 2023 (83 kes).

Mengulas lanjut, Muhammad Faiz berkata, selain isu aset tidak canggih, pihaknya juga melihat kerajaan perlu menambah jumlah kapal besar di zon C dan C2.

“Pencerobohan banyak berlaku di kawasan kapal di laut dalam, kalau kita lihat kapal tempatan di Zon C dan C2 sangat kurang, maka bila berlaku kekosongan, ia membuka ruang kepada pencerobohan. Usaha yang kita lakukan adalah dalam Pemodenan Vesel Penangkapan Ikan, kita buka lesen untuk bot C dan C2.

“Pengusaha kapal nelayan perlu membuat transformasi kepada lesen yang lebih besar supaya kapal besar tempatan dapat diperbanyakkan di zon laut dalam, jumlah penangkapan ikan pun lebih banyak. Malah, jika jumlah kapal tempatan lebih banyak, ruang untuk berlaku pencerobohan dapat dikurangkan,” ujarnya lagi.

Kata Muhammad Faiz lagi, setakat ini sebanyak 2,882 buah kapal di zon C direkodkan, sementara bagi kapal C2 pula adalah sebanyak 726 buah kapal.

Mengulas lanjut, kerjasama erat antara tentera laut dan pihak penguatkuasa boleh dibuat bagi menjalankan operasi bersama bagi membanteras pencerobohan yang berlaku. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN