Pencerobohan nelayan asing dibantu maklumat ‘tonto laut’

Pencerobohan nelayan asing dibantu maklumat ‘tonto laut’

DZOWAHIR AB GHANI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Pencerobohan oleh nelayan asing ke kawasan sumber perikanan di negeri ini didakwa dibantu oleh kewujudan pemberi maklumat atau disebut ‘tonto laut’.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Perladangan dan Pengangkutan negeri, Dzowahir Ab. Ghani berkata, kegiatan itu bukan hanya menjejaskan sumber perikanan dan pendapatan nelayan tradisi tempatan malah mencabar usaha penguatkuasaan dijalankan pihak berkuasa.

“Ini kita panggil tonto laut, JPJ (Jabatan Pengangkutan Jalan) dok perang dengan tonto darat. Laut juga ada tonto, geng cari makanlah. Tonto laut ini sentiasa memantau operasi pihak berkuasa, depa boleh tahu bila bot peronda nak mai. 

“Hebat mereka punya alat komunikasi, jenuh juga nak lawan puak (kumpulan) ini,” katanya menjawab soalan lisan Mohd. Ashraf Mustaqim Badrul Munir (PN-Kota Siputeh) berkaitan usaha menangani pencerobohan nelayan asing pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah, hari ini.

Tambah Dzowahir, Jabatan Perikanan negeri dan agensi terlibat giat melaksanakan rondaan serta penguatkuasaan untuk membanteras pencerobohan tersebut. 

“Ini fokus utama pihak kerajaan negeri dari Jabatan Perikanan kerana pencerobohan nelayan asing ini melibatkan kemusnahan kepada sumber perikanan dan juga bagi menjaga hak-hak nelayan tradisi atau kawasan pantai yang sering berhadapan masalah kekurangan hasil tangkapan.

“Ia terutamanya melibatkan rondaan dan pengawasan adalah tertumpu di kawasan zon A iaitu pada jarak bawah lima batu nautika dari pesisir pantai bagi memastikan aktiviti pencerobohan dapat dikekang,” jelasnya.  

Katanya, selain itu kekerapan rondaan ditingkatkan secara intensif pada waktu malam dan awal pagi memandangkan penceroboh sering mengambil kesempatan untuk melakukan aktiviti haram dalam keadaan gelap.  

“Bagi memastikan keberkesanan operasi, jadual rondaan dilaksanakan secara rawak atau tidak mengikut pola yang tetap supaya pergerakan aset penguatkuasa tidak mudah dihidu atau dikesan oleh pihak tonto,” katanya. – UTUSAN 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN