Hak perlindungan pemberi maklumat kekal terjamin

Hak perlindungan pemberi maklumat kekal terjamin

ANWAR IBRAHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Hak perlindungan terhadap pemberi maklumat kekal terjamin termasuk memastikan keselamatan diri dan keluarga mereka daripada sebarang ancaman jenayah.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, adalah penting membezakan antara pemberi maklumat sebenar dan penjenayah yang menyamar sebagai whistleblower supaya perlindungan diberikan hanya kepada mereka yang benar-benar layak.

Katanya, ini kerana wujud kekeliruan dalam negara apabila sesetengah individu seperti penyamun dan perasuah dianggap sebagai pemberi maklumat dan digambarkan sebagai hero.

“Kalau seorang itu curi RM1 bilion, dia kata dia akan bagi kerjasama dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk mendapatkan balik RM100. Itu bukan whistleblower, itu penyamun tegar.

“Sama juga seorang pembunuh. Dia bunuh kemudian dia kata dia akan bagi kerjasama dengan syarat dia dilepaskan. Itu bukan whistleblower,” katanya ketika sesi pertanyaan-pertanyaan bagi jawab lisan di Dewan Negara hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Senator Amir Md Ghazali berhubung jaminan perlindungan terhadap pemberi maklumat dalam agensi penguatkuasaan supaya mereka tidak dikenakan tindakan balas secara halus ataupun terbuka.

Menurut Anwar, perlunya perhatian serius bagi memastikan pemberi maklumat yang sahih dilindungi dan tidak disalahgunakan oleh individu berniat jahat.

“Sekarang ini ada budaya dalam kalangan ahli politik sendiri yang mendewa-dewakan seorang yang mengaku terang-terang merasuahkan pimpinan politik, jadi harus kita bezakan di antara whistleblower yang wajib dibela dan dikawal keselamatan mereka dengan penjenayah tegar yang menyelubungi atas nama whistleblower,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN