LANGKAWI: Lima lelaki warga Thailand termasuk dua tekong bagi dua buah vesel ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) kerana melakukan aktiviti menangkap ikan di perairan Malaysia.
Pengarah Maritim Negeri Kedah dan Perlis, Laksamana Pertama Maritim Romli Mustafa berkata, kesemua mereka berusia 13 hingga 50 tahun ditahan di kedudukan tiga batu nautika Barat Laut Pulau Langgun, di sini kira-kira pukul 11 pagi, semalam.
“Dua vesel terbabit ditahan oleh bot ronda Maritim Malaysia ketika sedang melakukan aktiviti menangkap ikan.
“Mereka melakukan kesalahan di bawah Akta Perikanan 1985 iaitu vesel nelayan asing menangkap ikan di perairan Malaysia dan Akta Imigresen 1959/63 kerana tiada dokumen pengenalan diri yang sah,” katanya di sini hari ini.
Romli berkata, anggaran keseluruhan nilai rampasan berjumlah RM227,000 dan vesel berserta barang kes serta kru dibawa ke jeti Maritim Negeri Kedah dan Perlis untuk siasatan lanjut
Beliau menegaskan, Maritim Malaysia tidak akan berkompromi terhadap sebarang aktiviti yang melanggar undang-undang dan sentiasa komited meneruskan pengoperasian serta rondaan di sepanjang Zon Maritim Malaysia bagi mengekang aktiviti haram di perairan negara. – UTUSAN










