‘Apa logiknya latihan komando di dalam masjid?’

‘Apa logiknya latihan komando di dalam masjid?’

TAKIYUDDIN HASSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Tindakan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) yang didakwa menjalankan latihan komando di Masjid Rusila, Marang, Terengganu pada 29 September lalu mencetuskan persoalan dalam kalangan ahli Parlimen pembangkang.

Datuk Seri Takiyuddin Hassan (PN-Kota Bharu) berkata, tindakan sekumpulan individu dipercayai anggota APMM memasuki masjid tanpa kebenaran telah menimbulkan ketakutan dan keresahan dalam kalangan jemaah.

Menurutnya, kumpulan berkenaan yang menaiki lima kenderaan didakwa masuk ke dalam masjid sambil memakai kasut termasuk ke kawasan solat wanita sebelum melakukan pemeriksaan dan penggeledahan.

“Apabila ditegur oleh orang ramai, mereka menjawab ‘kami polis’. Saya ada rakaman CCTV dan dokumen berkaitan latihan itu bertajuk Pemakluman Latihan Pelarian dan Pelolosan (SERE) Kursus Asas Komando Star Team Siri 1/2025.

“Laporan polis sudah dibuat oleh pengurusan masjid di Balai Polis Marang. Apa yang berlaku ini jelas menimbulkan kebimbangan, lebih-lebih lagi dilakukan di rumah ibadat tanpa pengetahuan pihak masjid,” katanya ketika membahaskan isu berkenaan di Dewan Rakyat hari ini.

Takiyuddin turut mempersoalkan prosedur operasi standard (SOP) latihan agensi penguatkuasaan di tempat awam terutama rumah ibadat yang disifatkan berisiko mencetuskan panik dalam kalangan masyarakat.

Beliau mengingatkan bahawa insiden seperti itu boleh mengundang faktor ketakutan dan mengimbau semula peristiwa tragedi Memali 1985 yang mengorbankan 18 nyawa.

“Kalau saya berada di tempat itu dan melihat tindakan sebegitu, mungkin saya anggap ia satu ancaman. Apa logiknya latihan komando dijalankan dalam masjid? Pergilah buat di laut, itu bidang APMM,” soalnya.

Datuk Awang Hashim (PN-Pendang) turut mempersoalkan sama ada latihan itu mempunyai tujuan tertentu termasuk kemungkinan melibatkan Tan Sri Abdul Hadi Awang (PN-Marang) yang berada di masjid ketika kejadian.

Namun, Takiyuddin menolak membuat sebarang andaian tetapi menegaskan lokasi latihan berkenaan amat mencurigakan.

“Kita tidak mahu menuduh, tetapi kenapa mesti di Rusila, kenapa di masjid? Ini APMM, bukan tentera darat. Saya mohon kerajaan memberi penjelasan terperinci tentang perkara ini,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN