BUKIT MERTAJAM: Perdana Menteri hari ini membidas Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mencabarnya untuk mengosongkan enam kerusi Parlimen dan satu kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).
Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, persoalan itu sepatutnya dijawab sendiri oleh Muhyiddin memandangkan beliau adalah ‘kepala’ lompat parti.
“Kepala parti lompat (Muhyiddin) nak cadang orang? Terpulang kepada Ahli Parlimen lah. Kenapa tanya saya?
“Dia yang pakar pergi lompat dan ‘scheme of things’. Itu dia patut jawab. Orang dah hilang keyakinan kepada Bersatu (Parti Pribumi Bersatu Malaysia) terutamanya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai cabaran Muhyiddin terhadap dirinya untuk mengosongkan enam kerusi parlimen dan satu kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) supaya pilihan raya boleh diadakan dengan segera.
Cabaran itu dibuat berikutan sokongan yang diberikan oleh wakil rakyat tersebut kepada Datuk Seri Anwar ibrahim, sekali gus bertentangan dengan prinsip parti.
Terdahulu, beliau menghadiri Program Lawatan dan Ramah mesra ke Ibu Pejabat Polis (IPD) Daerah Seberang Perai Tengah (SPT) di sini hari ini.
Hadir sama ialah Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain.
Enam Ahli Parlimen daripada Bersatu yang telah mengisytiharkan sokongan kepada Perdana Menteri sebelum ini ialah Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar), Datuk Dr. Suhaili Abdul Rahman (Labuan), Datuk Dr. Zulkafperi Hanapi (Tanjong Karang), Zahari Kechik (Jeli), Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang) dan Mohd. Azizi Abu Naim (Gua Musang).
Seorang ADUN juga telah membuat tindakan yang sama baru-baru ini iaitu ADUN Selat Klang, Datuk Abdul Rashid Asari. – UTUSAN










