Wang SRC diseleweng dipindah ke syarikat di Kepulauan Virgin

Wang SRC yang diseleweng dipindah ke syarikat di Kepulauan Virgin

NAJIB Razak diiringi pegawai penjara ketika hadir di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur semalam untuk sambung bicara kes pecah amanah dan pelanggaran kewajipan statutori berkaitan dana SRC International. – UTUSAN/M FIRDAUS M JOHARI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini diberitahu dana SRC International yang dise­le­weng turut dipindah ke syarikat yang diperbadankan di Ke­pulauan Virgin British (BVI), Muraset Limited (Muraset Ltd.)

Pakar pemulihan aset luar pesisir yang juga pelikuidasi SRC, Angela Barkhouse berkata, syarikat itu yang dipercayai ada kaitan dengan ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low menerima wang daripada SRC berjumlah AS$15 juta 27 Disember 2011.

Saksi kedua itu ketika memberi keterangan melalui Zoom dalam kes saman dikemukakan SRC terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, syarikat itu kemudian memindahkannya kepada beberapa individu dan entiti termasuk anak bekas Perdana Menteri Mongolia, Sükhbaataryn Batbold dan seorang ahli politik.

Angela berkata, berdasarkan penyelidikannya, Battushig Bat­bold, anak lelaki bekas Batbold, menerima AS$40,000, ma­na­ka­la Dash Uranbileg iaitu tokoh politik di Mongolia menerima AS$2 juta daripada Muraset.

Katanya, AS$4.5 juta pula di­pindahkan kepada pengarah Muraset, Cheong Choo Young iaitu proksi Batbold, manakala isterinya, Kim Hak Seon mene­rima AS$1.4 juta.

Angela yang juga Pengarah Urusan Quantuma International berkata, Muraset mene­rima dana berkenaan daripada akaun anak syarikat SRC, SRC BVI di BSI Bank.

SRC BVI dilantik untuk menjalankan aktiviti pelaburan luar negara dalam sektor sumber tenaga.

Katanya, hasil penyelidikan menunjukkan Batbold mengawal Muraset melalui pemegang sahamnya iaitu syarikat yang diperbadankan di BVI iaitu Grandcastle Assets Limited. Ba­gaimanapun, perniagaan sya­ri­kat itu tidak diketahui.

Kata Angela, pada mulanya Muraset menerima dana daripada SRC BVI, sebagai bayaran untuk tiga juta saham dalam Gobi Coal Energy Limited di Mongolia, menyaksikan Gobi Coal memegang hak ke atas dua lombong di Mongolia.

“Walaupun ini nampaknya adalah urus niaga yang dibuat mengikut pelaburan dalam sek­tor tenaga dan sumber, pe­merolehan saham ini dijalankan tidak mengikut aturan yang wajar.

“Pemindahan itu nampak­nya kekurangan nilai komersial. Tiada asas bagi pembayaran ini yang dikenal pasti dan menunjukkan bahawa ia mekanisme mengalih dana kepunyaan SRC International,” katanya.

Pada 7 Mei 2021, SRC di ba­wah pengurusan baharu memulakan tindakan saman sivil terhadap Najib dan bekas Ke­tua Pegawai Eksekutif SRC, Nik Faisal Ariff Kamil sebagai defendan pertama dan kedua.

Bekas pengarahnya iaitu Da­tuk Suboh Md. Yassin, Datuk Mohammed Azhar Osman Khai­ruddin, Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi, Tan Sri Ismee Ismail dan Datuk Che Abdullah @ Rashidi Che Omar, dinamakan sebagai pihak ketiga.

SRC yang juga anak syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB) selaku plaintif, dalam writ saman mendakwa kesemua defendan bersubahat dan melakukan pecah amanah.

Najib didakwa menyalahgunakan kuasanya dan memperoleh ganjaran peribadi daripada dana SRC, selain menyeleweng dana itu.

SRC, memohon deklarasi bahawa semua defendan bertanggungjawab untuk membayar kerugian dana pelaburan itu akibat penggunaan jumlah pinjaman terbabit, selain menuntut ganti rugi am, ganti rugi teladan, ganti rugi tambahan, faedah, kos dan relief lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Ahmad Fairuz Zainol Abidin bersambung esok. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN