Jangan tunggang isu, rosakkan keharmonian kaum - King Sing

Akmal jangan tunggang isu, rosakkan keharmonian kaum – King Sing

TIONG KING SING
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Ketua Pemuda UMNO, Dr. Akmal Saleh tidak sepatutnya menunggang isu ‘stoking’ untuk meraih modal politik peribadi, yang akhirnya berupaya merosakkan keharmonian masyarakat berbilang kaum di negara ini.

Ahli Parlimen Bintulu, Datuk Seri Tiong King Sing berkata, pengurusan pasar raya KK Super Mart bukan sahaja segera tampil memohon maaf atas kesilapan yang tidak disengajakan, malah bertindak pantas mengeluarkan produk tersebut daripada rak jualan yang terdapat di cawangan berkenaan.

Oleh itu, katanya, semua pihak seharusnya bertenang dan tidak lagi ‘menyimbah minyak ke api’ yang sedang mahu reda serta sebaliknya, beri peluang kepada pihak KK Super Mart membetulkan kesilapan.

“Sehubungan itu, Akmal tidak perlu lagi mengambil kesempatan terhadap isu ini untuk menjadi hero.

“Gaya sensasi sebegitu amat memalukan, malah ini bukanlah cara yang betul untuk dijulang sebagai jaguh politik orang muda,” katanya dalam kenyataan.

Dr. Akmal sebelum ini lantang menyuarakan isu stoking tertera kalimah ‘Allah’ yang dijumpai di salah sebuah cawangannya dekat sini, seperti mana yang tular di media sosial.

Beliau turut menggesa umat Islam memboikot kesemua rangkaian pasar raya itu selain membuat laporan polis.

Mengulas lanjut, King Sing menggesa Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh, supaya bertindak tegas terhadap keangkuhan dan sikap keterlaluan Akmal yang juga seorang Exco Negeri Melaka.

“Saya telah mendapat maklum balas bahawa rakyat dan akar umbi Melaka telah membuat aduan dengan menyatakan rasa tidak puas hati terhadap sikap angkuh Akmal.

“Jika tidak diperbetulkan segera, ini mungkin memberi kesan negatif kepada perkembangan politik Melaka pada masa hadapan,” katanya. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN