GUA MUSANG: Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Kebangsaan (SK) Lepan Jaya di sini yakin mampu menjana pendapatan berjumlah RM10,000 menerusi jualan air tebu sepanjang Ramadan tahun ini.
Penyelaras Agro School SK Lepan Jaya, Ahmad Fakhrurrazi Che Daud, 31, berkata, keyakinan itu bersandarkan kepada jualan air tersebut sebanyak 200 bungkus habis dalam tempoh 30 minit setiap hari.
Menurutnya, permintaan ‘luar biasa’ itu dibantu oleh musim kemarau yang sedang melanda ketika ini menyebabkan orang ramai menjadi air tebu sebagai pilihan utama semasa berbuka puasa.
“Pada tahun lalu kami membekalkan tebu kepada penjual tebu di sekitar daerah ini, namun kita melihat margin keuntungan sangat kecil. Pada tahun ini kita membuat kelainan dengan menjual produk air tebu di sekolah yang kita anggarkan keuntungan boleh mencecah RM10,000 sepanjang Ramadan ini.
“Penjualan air tebu ini dibuat pada dua sesi iaitu pada pukul 1.15 dan pukul 4.15 petang kepada ibu bapa dan penduduk kampung di kawasan sekitar ini,” katanya ketika ditemui di SK Lepan Jaya di Kampung Lepan Jaya, di sini semalam.
Ahmad Fakhrurrazi memberitahu, tanaman tebu itu diusahakan menerusi kerjasama melibatkan murid-murid, guru dan ibu bapa.
Katanya, hasil jualan kira-kira 3,000 batang tebu itu akan disalurkan terus ke akaun PIBG sekolah bagi membantu semua murid daripada keluarga berpendapatan rendah.
Sementara itu, Penolong Kanan Hal Ehwal Murid (PKHEM) SK Lepan Jaya, Mohd. Jailani Mat Jusoh berkata, program penanam tebu akan diteruskan pada masa akan datang di kawasan tanah lapang sekitar sekolah terbabit.
Katanya, hasil tanaman di sekolah memberi manfaat kepada 209 murid di sekolah ini. – UTUSAN










