Abdul Rashid serah kepada MPT Bersatu tentukan kedudukannya - Utusan Malaysia

Abdul Rashid serah kepada MPT Bersatu tentukan kedudukannya

Abdul Rashid
ABDUL RASHID ASARI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Bekas Pengerusi Badan Pimpinan Bersatu Selangor, Datuk Abdul Rashid Asari menyerahkan kepada majlis pimpinan tertinggi (MPT) untuk menentukan kedudukan beliau dalam parti.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Selat Klang itu berkata, bagaimanapun sehingga kini beliau bersama lima enam Ahli Parlimen Bersatu yang berbuat tindakan sedemikian masih belum dirujuk kepada lembaga disiplin parti.

“Saya faham bila saya membuat keputusan itu, tentu sekali perkara itu akan dirujuk kepada MPT dan terpulang kepada mereka hendak buat apa (memutuskan), saya terima sahaja sebab bila saya buat keputusan itulah keputusan saya (muktamad),” katanya ketika ditemui, hari ini.

Abdul Rashid menegaskan, sehingga kini beliau masih lagi Ahli Bersatu dan memegang jawatan sebagai Ketua Bahagian Bersatu Kapar, namun diberitahu Presiden, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengarahkan badan pimpinan negeri memantau Bersatu Bahagian Kapar.

Rabu lalu, beliau mengisytihar sokongan kepada Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari selepas kecewa dengan tindakan kepempimpinan parti yang membiarkan Raja-Raja Melayu menerima tohmahan.

Dalam pada itu, Abdul Rashid yang juga pengasas Bersatu Selangor pada 2016 menjelaskan kedudukan beliau sebagai ADUN Selat Klang masih berkuatkuasa dan tindakan terhadapnya bergantung kepada kelulusan pindaan perlembagaan oleh Pendaftar Pertubuhan (ROS).

“Buat masa ini tidak, sebab perlembagaan baru sahaja diluluskan oleh Bersatu tetapi belum mendapat kelulusan ROS, biasanya kalau ikut perundangan apabila perlembagaan hendak diimplementasikan ia dibuat selepas kelulusan ROS.

“Jadi, pada saya tindakan Bersatu meminda perlembagaan tersebut adalah untuk masa depan Bersatu, saya rasa tidak boleh digunakan pindaan tersebut kepada mereka yang mengambil tindakan awal,” jelasnya.

Dalam sidang akhbar sama, beliau turut menyatakan kekecewaan terhadap parti meminggirkannya dan menganggap tidak lagi relevan selepas berusaha menubuhkan Bersatu Selangor dengan menggerakkan penubuhan 22 bahagian di seluruh negeri.

“Akhir-akhir ini saya tidak lagi dipedulikan dan dipinggirkan daripada Bersatu. Saya tidak lagi relevan kepada parti, saya berkata demikian kerana semasa Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), satu perjanjian bertulis dibuat antara Bersatu, Pas dan Gerakan untuk pengagihan kerusi termasuk Parlimen Kapar.

“Bagaimanapun, pada mesyuarat akhir penentuan agihan, kerusi Parlimen Kapar diambil oleh Pas yang tidak mengendahkan perjanjian tersebut disebabkan ada pecaturan politik yang tidak sepatutnya dilakukan.

“Saya juga cuba mempertahankan ketua-ketua bahagian dan timbalan yang layak dicalonkan pada Pilihan Raya Negeri Ke-15 (PRN15), juga tidak dipedulikan oleh kepemimpinan tertinggi. Oleh demikian saya dihina dan dikeji kononnya gagal menamakan mereka sebagai calon sebelum dipecat daripada jawatan pengerusi badan pimpinan,” jelasnya.

Katanya lagi, sebelum keputusan tersebut dibuat, Abdul Rashid memaklumkan beliau bertemu dengan Muhyiddin selepas mengetahui terdapat perubahan akan dibuat di peringkat pimpinan negeri di seluruh negara.

“Jadi, saya tanya tentang perkara itu dan beliau kata betul, jadi saya berkata dengan beliau, kalau Tan Sri rasa saya tidak diperlukan atau tidak relevan, silalah lantik mana-mana yang Tan Sri suka. Dua hari selepas itu, dia terus lantik pengerusi baharu,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN