9,355 anak tentera menabung PTPTN tahun ini

9,355 anak tentera menabung PTPTN tahun ini

Sebahagian daripada 455 pelatih Putera dalam Majlis Perbarisan Tahunan Putera Maktab Tentera Diraja (MTD) di Kem Sungai Besi, semalam. -UTUSAN/ AMIR KHALID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Mulai tahun ini, sebanyak 9,355 murid tahun satu daripada keluarga anggota lain-lain pangkat dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menyertai program penabungan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, program kerjasama Yayasan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) dan PTPTN itu melibatkan nilai keseluruhan RM467,750.

“Program dikenali sebagai Simpanan Pendidikan Madani (SPM) ini akan melibatkan sumbangan tabungan ke dalam akaun Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) kepada 9,355 anak-anak ATM tahun satu bagi sesi persekolahan 2024.

“Peruntukan yang disalurkan melalui Kementerian Pendidikan ini akan memberi manfaat kepada 29 buah sekolah rendah dan menengah termasuk sebuah Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) dalam kem-kem angkatan tentera di seluruh negara,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap di Perbarisan Tahunan Putera Maktab Tentera Diraja (MTD), Kem Perdana Sungai Besi di sini, semalam.

Seramai 219 pelajar menamatkan pengajian di MTD dalam majlis yang diadakan bagi meraikan pelajar sesi akademik 2023.

Dalam pada itu, Mohaned Khaled berkata, kerajaan bersetuju memperuntukkan RM15 juta untuk penyelenggaraan dan naik taraf sekolah-sekolah angkatan tentera.

Menurutnya, selain itu kerajaan turut membelanjakan kira-kira RM21 juta setiap tahun untuk MTD termasuklah emolumen pegawai, guru dan kakitangan.

“Kerajaan memperuntukkan sebanyak kira-kira RM27,000 bagi seorang penuntut MTD sepanjang pengajian dua tahun

“Inisiatif ini dilakukan kerana kita percaya bahawa kebajikan serta pendidikan berkualiti adalah perkara yang harus menjadi sebahagian daripada fokus utama Kementerian Pertahanan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN