40,000 pengunjung dijangka meriahkan Pelita Raya Terengganu - Utusan Malaysia

40,000 pengunjung dijangka meriahkan Pelita Raya Terengganu

PESERTA melakukan persiapan pada program Pelita Raya Terengganu 2024 (Peliter@TTI 2024) di Taman Tamadun Islam, Kuala Terengganu, malam tadi. - UTUSAN/PUQTRA HAIRRY ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Lebih 40,000 pengunjung dijangka hadir memeriahkan program tahunan anjuran Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu iaitu Pelita Raya Terengganu (Peliter@TTI) 2024 di Taman Tamadun Islam (TTI) di sini bermula semalam hingga Sabtu ini.

Pengarahnya, Ahmad Ridzwan Abd Rahman berkata, pihaknya optimis sasaran itu dapat dicapai berikutan jumlah kehadiran pengunjung pada program sama tahun lalu berjaya mencatatkan kehadiran 30,400 pengunjung.

Menurutnya, setiap tahun program tersebut terus mendapat sambutan memberangsangkan daripada orang ramai dengan peningkatan jumlah pengunjung setiap tahun berbanding 18,824 orang pada tahun 2022 dan 5, 876 pengunjung pada tahun 2021.

“Kali ini, jabatan dengan kerjasama rakan strategik, TTI dan semua pejabat daerah, akan meneruskan tradisi program tersebut di TTI.

“Program yang berlangsung selama lima hari itu dengan tema Tradisi Diwarisi, Comeynya Peliter itu mendapat 10 penyertaan iaitu semua pejabat daerah, Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (PMINT) dan Lembaga Muzium Negeri Terengganu,” katanya selepas melawat lokasi program di sini, malam tadi.

Antara syarat utama dalam pertandingan kali ini ialah peserta perlu menggunakan lebih 150 pelita sumbu, menggunakan barangan terpakai seperti tempurung, tin minuman, buluh dan botol.

Keunikan pakaian atau busana bertema, rekaan replika dan dekorasi bergantung kepada kreativiti masing-masing, berdasarkan produk daerah yang ingin diperkenalkan.

Mengulas lanjut, beliau berkata, bagi menarik kedatangan pengunjung, mereka boleh menyertai pertandingan Fotografi dan Pertandingan Video Tik Tok Peliter@TTI 2024 untuk memeriahkan lagi program tersebut.

“Bagi pertandingan pelita, wang tunai sebanyak RM11,500 secara keseluruhan ditawarkan kepada peserta manakala bagi pertandingan di media sosial pula, sebanyak RM2,500 disediakan untuk dua kategori iaitu di Facebook (Pertandingan Fotografi) dan video Tik Tok.

“Bayaran masuk yang dikenakan untuk dewasa hanya RM1 (13 tahun ke atas) manakala bagi Orang Kelainan Upaya (OKU), warga emas dan kanak-kanak 12 tahun dan ke bawah, masuk adalah percuma,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN