WASHINGTON: Presiden Donald Trump pada Rabu berkata, beliau percaya perang dengan Iran akan berakhir serta-merta selepas Amerika Syarikat (AS) mengadakan pilihan raya pertengahan penggal pada November.
“Saya fikir perang itu akan berakhir serta-merta selepas pilihan raya kerana Iran tidak mampu bertahan lebih lama lagi,” kata Trump kepada wartawan.
Beliau menuduh Teheran terdesak untuk cuba mempengaruhi pilihan raya berkenaan.
Bercakap kepada wartawan ketika dalam perjalanan ke konvensyen parti Republikan menjelang pilihan raya pertengahan penggal di Dallas, Trump mendakwa Iran akan meneruskan perang hingga November dalam usaha menjejaskan kedudukannya dari segi politik.
“Saya fikir ia akan mengambil sedikit masa lebih lama daripada pilihan raya pertengahan penggal,” kata Trump mengenai penurunan harga petrol.
“Mereka terdesak untuk cuba mempengaruhi pilihan raya supaya kita mendapat kumpulan orang yang lemah di sana, kemudian membiarkan mereka dan membenarkan mereka memiliki senjata nuklear.
“Mereka tidak mampu bertahan lebih lama lagi,” katanya merujuk kepada perang Iran yang bermula pada 28 Februari lalu.
Kenyataan Trump itu dibuat ketika harga minyak penanda aras global sekali lagi melepasi AS$100 (RM407) setong, didorong peningkatan pertempuran di Iran sejak beberapa hari lalu yang semakin menjejaskan aliran minyak mentah melalui Selat Hormuz.
Lonjakan harga minyak dijangka terus meningkatkan kos bahan api di AS yang muncul sebagai antara tekanan ekonomi utama menjelang pilihan raya pertengahan penggal.
Harga petrol pada Rabu melonjak 7.3 sen segelen atau 3.78 liter, kenaikan harian terbesar sejak Mei, menurut data AAA.
Harga purata petrol di seluruh negara kini AS$4.22 (RM17) bagi setiap 3.78 liter.
Harga diesel turut melonjak dengan ketara, dengan harga purata mencecah rekod AS$5.94 (RM24) bagi setiap 3.78 liter pada Rabu. – AGENSI










