PETALING JAYA: Kezaliman rejim Zionis terhadap rakyat Palestin bukan hanya dengan pembunuhan malah terdapat laporan mengatakan wanita dan kanak-kanak perempuan Gaza mengalami serangan seksual oleh askar Israel sejak 7 Oktober tahun lalu.
Berdasarkan laporan pemerhati hak asasi manusia antarabangsa, golongan wanita dan kanak-kanak perempuan Palestin di kedua-dua wilayah Gaza mahu pun di Tebing Barat menjadi sasaran perilaku tidak berperikemanusiaan dan merendahkan maruah oleh tentera Israel.
Antara layanan jijik turut dilakukan terhadap golongan tersebut adalah dinafikan hak untuk mendapatkan penjagaan kesihatan seperti tuala wanita, makanan dan ubat malah turut dipukul dengan teruk.
Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Al-Quds Malaysia, Dr. Sharif Abu Shammala berkata, selain dibunuh kejam, wanita dan kanak-kanak perempuan Palestin dikurung di dalam kandang seperti haiwan serta dibiarkan kesejukan ketika hujan tanpa diberikan makanan.
Katanya, terdapat juga maklumat bahawa golongan tersebut menjadi sasaran pelbagai bentuk serangan seksual seperti dibogelkan untuk menjalani pemeriksaan yang dilakukan oleh pegawai lelaki tentera Israel.
“Setakat ini, sekurang-kurangnya terdapat dua laporan bahawa tahanan wanita Palestin dirogol oleh tentera Israel manakala beberapa lagi wanita diugut untuk dirogol dan mengalami serangan secara seksual.
“Bagaimanapun, saya percaya banyak lagi kes seperti ini yang tidak dilaporkan disebabkan keengganan mangsa untuk bersuara kerana insiden sebegini memalu dan menjatuhkan maruah khususnya wanita Palestin,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Sharif berkata, keadaan tersebut amat membimbangkan memandangkan sejumlah wanita dan kanak-kanak perempuan Palestin dilaporkan hilang selepas didatangi tentera Israel khususnya di Gaza.
Menurutnya, masyarakat antarabangsa perlu memainkan peranan mendesak Israel supaya mematuhi hak kehidupan, keselamatan, kesihatan dan maruah wanita dan kanak-kanak Palestin yang langsung tidak berdosa.
“Tindakan tersebut menyalahi hak asasi manusia antarabangsa dan undang-undang kemanusiaan namun ia dipandang enteng oleh rejim Zionis selain terus-menerus mencabuli segenap aspek kehidupan rakyat Palestin bukan saja di Gaza malah di Tebing Barat.
“Layanan seperti binatang yang menimpa rakyat Palestin oleh rejim Zionis sudah tidak boleh dibiarkan. Campur tangan segera masyarakat antarabangsa untuk menghentikan peperangan di Gaza amat mendesak ketika ini,” katanya. – UTUSAN










