Ubah cara pemikiran, amalan lama dalam kewangan Islam

Ubah cara pemikiran, amalan lama dalam kewangan Islam

ANWAR IBARHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Semua pihak perlu mengubah cara pemikiran, amalan lama dan menetapkan semula hala tuju dalam perbankan serta kewangan Islam bagi memastikannya kekal relevan dengan peredaran arus semasa.

Pada masa sama, semua pihak perlu bekerjasama dan tidak boleh bergerak secara bersendirian sebagai pendekatan holistik dalam melaksanakan hala tuju perbankan serta kewangan Islam.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, masih banyak yang perlu dilakukan walaupun pelbagai kejayaan dicapai oleh sarjana ekonomi Islam di seluruh dunia selama lima dekad dalam membangunkan ekonomi Islam.

Beliau berkata, pengasas ekonomi Islam terdahulu meletakkan asas untuk membangunkan ekonomi yang mampan dan berasaskan manusiawi berdasarkan prinsip Islam tetapi boleh digunakan untuk semua orang.  

“Agenda dan rangka kerja etika dan moral ini dari tahun 1970-an kelihatan memuncak, ia kemudian mendatar tiada perubahan. Akibatnya, sejak 30 tahun lalu, ekonomi Islam yang dipromosikan sebagai agenda pembangunan holistik telah dipisahkan daripada kemajuan dalam perbankan dan kewangan Islam.  

“Idea dan konsep ekonomi Islam yang beretika menjadi terkurung di dewan akademik dan ceramah manakala pendekatan yang terlalu mementingkan fiqh (syariat Islam) iaitu pendekatan sempit dan berorientasikan perundangan dalam perbankan dan kewangan Islam berlaku dalam perdagangan dan industri.

“Ini telah membawa kepada dakwaan bahawa ekonomi dan kewangan Islam hanyalah bersifat seperti patchwork (tampal cantum). Justeru, cara berfikir dan amalan lama perlu berubah. Kita mesti bersedia untuk menetapkan semula hala tuju kita,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucap tama Persidangan Antarabangsa Ekonomi dan Kewangan Islam Ke-15 di sini, hari ini.

Persidangan ICIEF ke-15 yang bermula hari ini hingga 22 Februari ini menghimpunkan hampir 500 peserta antaranya Pakistan, United Kingdom, Arab Saudi, Maghribi, Turki, Indonesia, Amerika Syarikat, Nigeria, Norway, Jerman dan India.

Anwar berkata, ICIEF ke-15 kali ini memberi fokus terhadap langkah membangunkan ekonomi kewangan Islam lebih mampan dan manusiawi.

Justeru, Perdana Menteri menyeru ilmuwan termasuk pengamal industri dan pembuat dasar meluaskan idea demi kemajuan ekonomi Malaysia khususnya selain dalam kalangan negara-negara Islam dan bukan Islam.

“Ahli akademik harus meningkatkan pengetahuan, selaras dengan teori, etika ekonomi Islam dan membangunkan aplikasi praktikal sejajar dengan prinsip teras Madani.

“Institusi kewangan perlu menyepadukan prinsip ini ke dalam struktur teras dan proses membuat keputusan serta memastikan produk mereka adalah saksama dan boleh diakses.

“Badan kawal selia mesti mewujudkan rangka kerja berinovasi dengan insentif dan mengukuhkan etika, bukan pematuhan undang-undang semata-mata,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN