Tom Cruise, Ameer Khan pun rendah juga - Aiman - Utusan Malaysia

Tom Cruise, Ameer Khan pun rendah juga – Aiman

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

“RENDAH? Tom Cruise, Ameer Khan dan Jackie Chan juga berjaya.” 

Demikian kata pelakon baharu, Aiman Ameer yang mendedahkan pernah melalui fasa hitam dalam hidupnya apabila diejek hanya kerana memiliki ketinggian 170 sentimeter (sm) yang dianggap rendah bagi seseorang pelakon. 

Namun Aiman tidak pernah menjadikan itu sebagai halangan apatah lagi pematah semangat untuknya. 

Lagi ditekan, lagi dia akan bangkit melawan persepsi. Tidak akan mundur selangkah selagi belum berjuang. 

“Kalau bab ketinggian, dari dulu banyak kali sudah hadap. Sejujurnya satu ketika dahulu, saya mungkin akan terkesan dan terasa. Tetapi bila  kir balik, ramai sahaja pelakon tempatan dan antarabangsa berjaya walaupun rendah. 

“Shah Rukh Khan pun 170 sm sahaja. Tetapi lihatnya aura bintangnya, merentasi benua. Jadi, takkan saya mahu mengalah hanya kerana diejek dan direndahkan. Ramai sahaja pelakon tempatan yang rendah. 

“Tidak salah pun saya mahu mencuba nasib kan? Kalau cepat mengalah, sampai bila-bila pun saya akan salahkan diri sendiri. Dengar cakap, persepsi orang sedangkan diri sendiri belum berjuang,” ujarnya. 

Melangkah ke industri seni dengan gelaran Hero Remaja 2023 mungkin dilihat memudahkan perjalanannya. Masakan tidak, ramai senior-senior terdahulu yang dicungkil daripada program sama sudah menempa nama. Namun hakikatnya, tidak semudah itu untuk dia mencipta populariti. 

Tanpa bakat, mungkin namanya berlegar seketika cuma. Tidak akan bertahan lama. Itu bukan tujuan asal dia memberanikan diri. 

“Tiada yang mustahil di dunia ini. Selain ada rezeki dan peluang saya perlu mencuba. Memang kejuaraan ini membuka pintu untuk nama saya lebih dikenali, namun akhirnya semua itu bergantung kepada bagaimana saya membawa diri. 

“Bukan populariti yang saya kejar. Tipulah kalau tidak mahu popular, tetapi saya mahu seiring dengan bakat. Tak seronok jika digelar kayu, patung cendana hanya kerana saya tidak berlakon bersungguh-sungguh. 

“Persaingan? Semua orang ada kelebihan dan kewibawaan tersendiri. Saya bukan seorang yang melihat secara negatif kejayaan orang lain. Saya memotivasikan diri sendiri, untuk lebih ke hadapan,” kongsinya.

DAMBA NASKHAH AKSI, KOMEDI 

Ditanya adakah dia mempunyai kriteria naskhah yang diminati, dengan pantas jejaka berusia 24 tahun ini menjawab; 

“Aksi dan komedi. Dua genre ini memang saya minat. Sementelah, saya sendiri suka bergurau senda. Tidak serius yang disangka. Cuma tidaklah saya fokus dua genre itu sahaja. Saya terbuka untuk cuba semua. 

“Kalau boleh saya nak jadi pelakon yang versatil. Campaklah skrip bagaimanapun, saya boleh menjayakan. Kepercayaan pengarah dan penerbit itu yang saya harus raih dahulu. Kena masuk kelas lakonan,” katanya. 

Sanggup berhenti kerja kerana Hero Remaja 2023, pengorbanan itu akhirnya terbalas dengan kemenangan. 

Namun ada yang beranggapan, keputusan itu sesuatu yang merugikannya sebagai pelakon baharu. 

Namun tidakkan sagu diraih jika tidak dipecahkan ruyung terlebih dahulu. Bagi Aiman, kegagalan bukan satu ketakutan dalam hidup sebaliknya, adakah dia mampu bangkit semula selepas jatuh? 

“Bila bergelar juara ini, saya akan pastikan diri sentiasa diperbaiki baik dari segi bakat lakonan dan juga peribadi. Saya tak kisah kalau tak ada rehat. Semua itu boleh diketepikan asalkan saya nampak hasilnya. 

“Kesihatan perlu dijaga. Tidak boleh ambil remeh. Mental,  fizikal semuanya seiring. Insya-Allah, restu ibu bapa akan membawa saya jauh dalam industri,” kongsinya. 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya