Tiada pembabitan dalang insiden PATI lolos di Bidor - Ruslin

Tiada pembabitan dalang insiden PATI lolos di Bidor – Ruslin

RUSLIN JUSOH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Jabatan Imigresen setakat ini tidak mengesan penglibatan dalang dalam kejadian seramai 131 pendatang asing (PATI) meloloskan diri daripada Depot Imigresen Sementara Bidor, Perak pada 1 Februari lalu.

Ketua Pengarahnya, Datuk Ruslin Jusoh berkata, bagaimanapun, siasatan lanjut berhubung kejadian itu sedang dijalankan.

“(Jabatan) Imigresen tidak nampak lagi ada pembabitan dalang dalam kes berkenaan (131 pendatang meloloskan diri) tetapi siasatan mengenainya masih dibuat,” katanya dalam program ‘Apa Khabar Malaysia’ terbitan Bernama TV, hari ini.

Ruslin berkata, pihaknya turut menemu bual beberapa tahanan yang berada di dalam depot imigresen berkenaan dalam siasatan.

Ujarnya, selain Jabatan Imigresen, siasatan turut dilaksanakan agensi lain seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan dan Pejabat Ketua Pegawai Keselamatan Kerajaan Malaysia.

Tambahnya, beliau menjangka kertas siasatan kejadian itu siap pada akhir bulan ini.

“Ketika ini Jabatan Imigresen memiliki 18 depot kekal dan dua depot sementara di Bidor serta Beranang, Selangor dengan penilaian jabatan menunjukkan keadaan keselamatan di depot sementara Beranang adalah terkawal,” katanya.

Ruslin berkata, sebaik saja menyelesaikan kertas siasatan, pihaknya akan meneliti perkara yang disyorkan dan mengemukakan kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN) untuk tindakan lanjut.

Ditanya mengenai usaha mencari sebahagian daripada pendatang asing yang masih bebas, beliau berkata, radius pencarian kini diperluas sejauh 15 kilometer.

“Dalam erti kata lain, Jabatan Imigresen tidak hentikan pencarian dan bilik gerakan masih dibuka. Saya yakin mereka ini (pendatang asing) tidak boleh bersembunyi dan bertahan lama dalam hutan.

“Lambat-laun mereka akan keluar dan meminta makanan daripada penduduk kampung,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN