IPOH: Kerajaan perlu meneruskan usaha membasmi kemiskinan bagi menjamin kesejahteraan sosial rakyat.
Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bertitah, bangunan megah mencakar langit tidak memberi makna sekiranya masih ada rakyat yang terpaksa mengikat perut, mencatu makanan dan tidur berbumbung langit.
Baginda bertitah, selagi ada rakyat yang miskin, usaha membasmi kemiskinan wajib diteruskan.
“Agenda menoktahi kemiskinan menjadi salah satu matlamat untuk menjamin kesejahteraan sosial rakyat.
“Menoktahi kemiskinan tegar menjadi tumpuan Kerajaan Beta di bawah Pelan Perak Sejahtera 2030, dengan matlamat mengagihkan kekayaan negeri seadil-adilnya untuk dinikmati oleh setiap rakyat,” titah baginda.
Baginda bertitah pada Istiadat Pembukaan Rasmi Tahun Kedua Dewan Negeri Perak Ke-15 di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini hari ini.
Titah Sultan Nazrin, usaha pembasmian kemiskinan bukan sekadar memberi fokus kepada peningkatan pendapatan, tetapi turut mengambil kira kualiti dan kesejahteraan hidup.
Baginda bertitah, ia direalisasikan dengan menyediakan jaringan keselamatan sosial yang kukuh serta perkhidmatan penjagaan kesihatan yang baik.
Titah baginda, pendidikan ialah asas dalam usaha membentuk kesihatan yang baik.
“Rakyat yang berpendidikan bukan sahaja berupaya membuat pilihan kesihatan yang bermaklumat, tetapi berupaya memberi sumbangan signifikan kepada pembangunan negara.
“Pendidikan berperanan penting dalam usaha mengubah landskap kemiskinan, mengeluarkan rakyat dari kepompong kemiskinan dan menaik taraf kehidupan rakyat.
“Oleh itu pelaburan dalam bidang pendidikan merupakan pelaburan untuk kesihatan dan kemakmuran rakyat,” titah baginda.
Sultan Nazrin bertitah, walaupun dasar berkaitan pendidikan terletak di bawah bidang kuasa Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Baginda juga boleh melaksanakan inisiatif untuk membantu memastikan kadar tinggi kehadiran murid ke sekolah.
Titah baginda, ini termasuk menyediakan pelbagai insentif untuk menarik minat murid agar terus berada di bilik darjah.
“Tumpuan perlu diberikan kepada agenda pendidikan terutamanya kepada generasi kedua.
“Ini agar kemiskinan tidak diwarisi oleh generasi akan datang; di sebaliknya akan berlaku mobiliti sosial keluarga ke tingkat yang lebih tinggi,” titah Sultan Nazrin. – UTUSAN










