IPOH: Kejadian penemuan bangkai itik hanyut di sungai kawasan rekreasi Lubuk Timah di Simpang Pulai di sini baru-baru ini tidak menjejaskan kedatangan pengunjung ke pusat rekreasi itu.
Tinjauan Utusan Malaysia mendapati kawasan rekreasi itu kembali beroperasi seperti biasa malah jumlah pengunjung semakin meningkat semasa musim cuti Tahun Baharu Cina dan cuti sekolah.
Keadaan itu melegakan Pengurus Pusat Rekreasi Lubuk Timah, Datuk Fadzil Akmal Mohd Yusoff yang menyifatkan kejadian penemuan bangkai itik hanyut di sungai di situ tidak menjejaskan kedatangan pengunjung.
“Pengunjung tidak putus-putus datang ke pusat rekreasi ini termasuk dari luar Perak. Mereka memberi sokongan kepada kami selepas kejadian penemuan bangkai itik hanyut yang mencemarkan air di sini namun semuanya sudah pulih seperti sedia kala.
“Saya percaya apa yang berlaku ada hikmat dan ini dibuktikan apabila pengunjung tidak terkesan dengan kejadian yang mencemarkan kebersihan tempat ini baru-baru ini,” katanya ketika ditemui di sini semalam.
Fadzil Akmal percaya, pengunjung menjadikan Lubuk Timah sebagai sebagai pilihan untuk berekreasi bersama keluarga kerana pusat itu dilengkapi pelbagai kemudahan, bersih dan dikelilingi alam semula jadi yang tidak tercemar.
Katanya, pihaknya juga menyediakan surau untuk kemudahan pengunjung bersolat.
Sementara itu, pengunjung Lubuk Timah, Mior Ahmad Faiz Mior Rozlan, 36, berkata, dia membawa keluarganya berkelah di pusat rekreasi itu kerana menyediakan kelengkapan dan keperluan untuk pengunjung.
“Air sungai di sini bersih, sejuk dan tiada ada sebarang pencemaran. Kemudahan di sini lengkap, seperti tandas, surau, tapat berkhemah, parkir dan suasananya cukup bersih dan nyaman. Memang berbaloi bercuti bersama keluarga di sini,” katanya.
Sebelum ini, tular dalam media sosial kejadian puluhan bangkai itik ditemukan hanyut di kawasan rekreasi tersebut.
Menerusi rakaman video itu, pengunjung mendakwa ia menyebabkan bau meloyakan dan menyebabkan mereka tidak selesa.
Berikutan itu, pengurusan pusat rekreasi itu membuat laporan kejadian itu di Balai Polis Simpang Pulai dan dipanjangkan kepada Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV).
Pusat Rekreasi Lubuk Timah antara destinasi pelancongan popular di sini kerana terdapat air terjun dan kolam air panas. – UTUSAN











