SPRM peroleh semula wang, aset lebih RM23.9 juta milik 1MDB

SPRM peroleh semula wang, aset lebih RM23.9 juta milik 1MDB

1MDB
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Wang termasuk aset yang berjumlah RM23,911,460.90 berjaya diperoleh semula Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hasil daripada pemulihan aset dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) di dalam dan luar negara.

Kesemua wang dan aset ini telah berjaya diperoleh menerusi proses lucuthak termasuk di mahkamah selain penyerahan secara sukarela membabitkan lima individu dan seterusnya telah dipulangkan semula kepada Kerajaan Malaysia.

SPRM dalam satu kenyataan memaklumkan, kejayaan memperoleh semula wang ini adalah susulan proses menjejak dan memperoleh semula dana 1MDB yang dijalankan Bahagian Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AML) SPRM pada 2023 dan terbaharu pada 5 Februari lalu.

Kata kenyataan itu, wang berjumlah RM 556,275.64 telah berjaya diperoleh pada 30 Ogos 2023 daripada pegawai 1MDB, Nur Zahid Taib, yang telah menerima dana 1MDB bagi Projek Maximus dan Projek Catalyze yang dimasukkan ke dalam akaun syarikat Turquoise Coast Offshore Incorporated yang mana individu ini mempunyai kepentingan.

“Wang ini telah diperoleh menerusi Perintah Pelepasan Akaun di bawah Seksyen 60 Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA 2001) pada 26 Jun 2023,” kata kenyataan itu di sini semalam.

Mengulas lanjut, kata kenyataan itu, wang berjumlah RM4,551,399.45 (USD972,251.25) berjaya dipulangkan kepada Kerajaan Malaysia menerusi penyerahan secara sukarela oleh Pegawai Khas kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, Datuk Amhari Effendi menerusi pindahan wang dari BSI Bank Switzerland pada 29 September tahun lalu.

Sementara itu, Mahkamah Tinggi Jenayah Kuala Lumpur memberikan perintah melucuthak tiga (3) unit kondominium berjumlah RM7.05 juta milik Pegawai Penasihat Hal Ehwal Luar Negeri bekas perdana menteri itu, Mohammad Kamal Yan Yahaya pada 8 November tahun lalu.

“Individu ini telah menerima dana 1MDB menerusi Projek Magnolia, Projek Maximus dan Projek Catalyze ke dalam akaun syarikat Spring Elite International Limited di BSI Bank, Singapura, di mana dirinya mempunyai kepentingan.

“Ketiga-tiga proses pemulihan aset ini telah diperoleh susulan perbicaraan ke atas bekas pegawai bank di Goldman Sachs, Ng Chong Hwa atau lebih dikenali sebagai Roger Ng di Mahkamah Persekutuan Brooklyn, Amerika Syarikat pada Februari 2022 atas dakwaan bersubahat dalam penyelewengan dana 1MDB,” jelasnya.

Tambah kenyataan itu, susulan proses pemulihan aset yang giat dijalankan ini juga, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur telah memerintahkan harta-harta milik sekutu kepada Jho Low atau nama sebenarnya Low Taek Jho iaitu Jerome Lee Tak Loong dan isterinya, Koay Ying Ying di Malaysia dan di Singapura yang seluruhnya berjumlah RM11,753,785.81 dilucut hak kepada SPRM pada 5 Februari lalu.

“Permohonan lucuthak ini telah dibuat di bawah Seksyen 56 dan Seksyen 64 Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA 2001).

“Secara keseluruhannya dari tahun 2019 dan sehingga kini, sebanyak RM29.03 bilion aset 1MDB telah berjaya dipulangkan menerusi kerjasama SPRM bersama Pasukan Petugas Khas Pemulihan Aset 1MDB (PPA1M) selain kerjasama daripada agensi luar negara,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×