SPANCO merugikan negara- Anwar

SPANCO merugikan negara- Anwar

ANWAR Ibrahim berucap pada Majlis Perjumpaan JPM Bagi Bulan Februari 2024 di Putrajaya. - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan kontrak perolehan membekal dan mengurus kenderaan kerajaan dikendalikan Spanco Sdn Bhd (Spanco) sebagai merugikan negara.

Perdana Menteri berkata, kenyataan itu bukan baru disuarakannya, malah pernah dibangkitkan ketika menjawat Menteri Kewangan pada pemerintahan sebelum ini.

“Sikap keras saya terhadap SPANCO sejak saya menjawat Menteri Kewangan dahulu. Jadi siasat, saya tidak tahu di mana salahnya. Tapi saya tahu ia tidak betul. Saya tahu ia merugikan negara dan saya tahu ia tidak menyenangkan penjawat awam.

“Tetapi (ketika itu) kita lesu tidak boleh berbuat apa-apa kerana tidak ada ketegasan dan tekad politik untuk bertindak. Sekarang ada (ketegasan dan tekad politik),” katanya ketika menyampaikan amanat pada Majlis Perjumpaan Perdana Menteri bersama Warga Jabatan Perdana Menteri di sini, hari ini.

Katanya, beliau menghargai tindakan dilakukan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam kes berkenaan.

Anwar berkata, semua pihak perlu faham bahawa soal memerangi rasuah perlu bermula dari atas dan sehingga ke bawah.

“Ada yang kata ini (tindakan menahan tokoh kenamaan dan tokoh politik) dendam politik lama. Dendam apa?” katanya.

Beliau turut mengakui kini diserang atas tindakan dan arahannya supaya semua agensi bertindak tegas terhadap isu salah laku dan rasuah.

Anwar berkata, beliau memberikan arahan jelas terhadap LHDN, SPRM dan PDRM supaya mengambil tindakan terhadap sesiapa sahaja tanpa mengira pangkat dan kedudukan.

“Dalam pentadbiran sekarang, tidak ada tolak ansur sama sekali. Bentuk tindakan jangan tanya saya, saya hanya beri arahan umum kepada semua jabatan dan badan penguat kuasa supaya bertegas sementara kita ada tekad politik.

“Kalau ada rakan jemaah menteri terlibat sama ada dalam kes rasuah dan kontrak sebagainya, kita tidak akan pertahan dan lindungi,” katanya.

Pada masa sama, beliau mengakui negara belum bebas sepenuhnya daripada kes salah laku dan rasuah, malah ia masih dikesan berlaku di sempadan dan pelabuhan negara. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN